WADAH-ABIM-PEPIAS Selangor lancar kelab berbasikal, suburkan gaya hidup sihat

September 28, 2021
editor@abim

WADAH-ABIM-PEPIAS Selangor lancar kelab berbasikal, suburkan gaya hidup sihat

Sebagai sebuah badan masyarakat madani (CSO) yang berteraskan anak muda, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menjadikan sukan sebagai antara agenda pemersatu yang dapat menyemai perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama, disulami semangat kesukanan yang harmoni, bebas dari unsur hooliganisme.

Sebagai rekod, dalam manual “Membudayakan 10 Gaya Hidup SIHAT” terbitan tahun 2005 oleh ABIM Johor, telah ditekankan berkenaan kepentingan membentuk budaya amalan harian dalam kalangan generasi muda, dan juga masyarakat ke arah kehidupan yang berkualiti, sejajar dengan ajaran Islam supaya kita sihat sepanjang hayat.

Sihat yang dimaksudkan di sini mencakupi aspek pemikiran, kerohanian, fizikal dan emosi; ke arah pembangunan kualiti diri, keluarga dan masyarakat. Konsep ini juga telah dimodulkan dalam bentuk program, bengkel dan ceramah.

Alhamdulillah, atas semangat ini, WADAH, ABIM dan PEPIAS (WAP) Selangor telah melancarkan Kelab Basikal WAP khas kepada penggemar sukan berbasikal dalam usaha meningkatkan kecergasan fizikal dan kualiti kesihatan era kini.

Pada 25hb September 2021, kayuhan pertama telah dimulakan di Putrajaya sejauh 20km, yang turut disertai oleh pimpinan WAP daripada pelbagai peringkat. Kayuhan juga dibuat bersempena Muktamar Belia Islam Kali Ke-49 dan Mesyuarat Agung Tahunan PEPIAS Kali Ke-30. Semoga dengan usaha ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan tubuh badan kita.

Pepatah Arab menyebut, “Akal yang sihat daripada tubuh badan yang sihat”.

#ABIMSelangor #ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR