
Selamat menyambut Hari Belia Negara kepada seluruh anak muda di Negeri Selangor dan di seluruh Malaysia. Hari istimewa ini bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh golongan belia dalam membentuk landskap sosial, ekonomi dan politik negara.
Hari Belia Negara pada tahun ini yang bertemakan “Yakin Boleh” sangat relevan dalam mengajak belia menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Tema ini bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan agar belia bangkit sebagai golongan yang yakin dengan kemampuan diri, berani menyuarakan pendapat, dan bersedia memikul tanggungjawab membina masa depan yang lebih baik.
Di Selangor sahaja, terdapat lebih 3.2 juta belia – satu angka yang besar, menggambarkan potensi luar biasa yang boleh digilap dan dimanfaatkan. Dalam konteks ini, belia seharusnya memainkan peranan penting sebagai jurubicara umat, culture builder, dan human trnsformer, khususnya dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa seperti ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim, serta peralihan norma kehidupan dalam zaman pasca-normal.
1. Belia Sebagai Jurubicara Umat dan Pembina Budaya
Belia tidak sepatutnya hanya menjadi pemerhati. Mereka mesti menjadi jurubicara umat – yang menyuarakan isu dan keresahan masyarakat, terutamanya dalam hal-hal yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian anak muda seperti peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, kesejahteraan mental, serta kemampuan memiliki tempat tinggal dan membina keluarga.
Mereka juga harus tampil sebagai pemangkin kepada budaya ilmu, budaya dialog dan budaya muafakat dalam membina masyarakat yang lebih progresif dan inklusif.
2. Keberanian Menghadapi Cabaran Kenegaraan
Belia juga perlu berani berperanan dalam kerangka kenegaraan dan demokrasi. Ini termasuk menyuarakan pandangan tentang dasar awam, terlibat dalam proses membuat keputusan, serta mendidik rakan sebaya untuk menjadi rakyat yang celik demokrasi dan matang dalam berpolitik. Pilihan yang dibuat oleh belia hari ini – baik dari segi nilai, gaya hidup mahupun pemikiran – akan menentukan masa depan negara secara keseluruhan.
Oleh itu, belia perlu keluar dari zon selesa, menyahut cabaran zaman dan menyumbang kepada agenda pembaharuan negara.
3. Kepentingan Menyertai Pertubuhan Belia dan Komuniti
ABIM Selangor turut ingin menyeru lebih ramai anak muda menyertai pertubuhan belia, pertubuhan masyarakat dan badan bukan kerajaan sebagai ruang membina kapasiti diri, jaringan sosial dan pengalaman kepimpinan. Melalui penyertaan aktif, belia bukan sahaja memperkasa diri, tetapi turut membina komuniti yang lebih kukuh, cakna dan bersatu.
ABIM Selangor percaya bahawa anak muda merupakan kunci kepada Malaysia yang lebih adil, makmur dan bermaruah. Maka, Hari Belia Negara ini seharusnya menjadi medan muhasabah dan kebangkitan untuk kita semua – agar belia tidak lagi menjadi penumpang masa depan, tetapi pengemudi arah tuju negara.
Belia Selangor, Yakin Boleh.
Ts. Ahmad Fahmi Adzha bin Mohd Nasarudin
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor
