ABIM Junjung Titah Paduka Seri Sultan Perak: Akan Laksana Pendidikan Demokrasi & Menolak Amalan Rasuah Dalam Kalangan Generasi Muda

March 22, 2022
editor@abim

Kenyataan Media Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – 22 Mac 2022 / 19 Syaaban 1443H

ABIM JUNJUNG TITAH PADUKA SERI SULTAN PERAK : AKAN LAKSANA PENDIDIKAN DEMOKRASI & MENOLAK AMALAN RASUAH DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjunjung tinggi titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah), yang menegaskan bahawa anak muda perlu dibimbing dengan program literasi politik agar mereka berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat.

ABIM juga menjunjung tinggi titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan kepentingan literasi ini untuk mereka membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

ABIM komited untuk membimbing generasi muda untuk membina watak generasi masa hadapan dengan teras jati diri bersama nilai-nilai moral yang tinggi.

Dalam proses ini ABIM menekankan kesetiaan kepada nilai dan maruah yang akan memimpin kita membina satu kefahaman dan identiti warga yang menolak amalan rasuah serta gejala perkauman sempit. Nilai ini adalah akar kepada keperibadian bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti.

Dalam masa yang sama juga ABIM akan terus melakukan libat urus bersama pemegang-pemegang taruh lain dalam kalangan ahli politik muda dan warga belia, untuk membawa wacana politik segar yang menolak rasuah serta berorientasi khidmat kepada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, untuk meratakan pendidikan demokrasi dalam kalangan generasi muda, ABIM juga mengusulkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Akademi SPR untuk bersama badan NGO anak muda untuk menggerakkan inisiatif ini.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR