#KITAKAWAN : ABIM SERU MESEJ KEAMANAN BUAT SEMUA RAKYAT MALAYSIA

November 22, 2022
editor@abim

Kenyataan Media ABIM – 22 November 2022M / 28 Rabiul Akhir 1444H (Selasa)

#KITAKAWAN : ABIM SERU MESEJ KEAMANAN BUAT SEMUA RAKYAT MALAYSIA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kebimbangan rakyat terhadap sentimen perkauman yang bersemarak susulan penganjuran Pilihanraya Umum Kali Ke-15 baru-baru ini.

Dalam hal ini ABIM menyambut baik ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta warga Malaysia yang prihatin untuk membanteras gejala ini yang dilaporkan merebak menerusi aplikasi media sosial.

Selain itu, ABIM menyeru umat Islam merujuk kepada model yang digagaskan ilmuwan terkemuka, Al-Biruni, untuk berinteraksi antara agama serta kaum yang berbeza. Ini meliputi konsep saling mengenali untuk memadam sebarang prasangka yang menutup ruang dialog.

Model ini mengingatkan kita untuk saling berkenalan serta tidak mengasingkan diri dalam kelompok sendiri semata-mata. Setiap kekurangan itu harus ditanggapi kepada perlakuan individu.

Hal ini turut meliputi sikap negatif serta kelakuan buruk yang tidak seharusnya dijustifikasikan untuk menghukum sesuatu kaum serta pegangan agama tertentu.

Dalam Islam serta fahaman-fahaman agama lain di dunia tidak pernah menghasut para penganutnya untuk membenci antara satu sama lain. Hakikatnya, kebencian terhadap kelompok yang berbeza itu terbit dari sikap taksub serta tertutup terhadap kepelbagaian serta perbezaan yang wujud.

Dalam hal ini kita harus merenung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah, sebelum ini seperti berikut:

“Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga dan suara kesederhanaan yang merangkum warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek. Masa hadapan rakyat dan negara tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa ekstremis kaum, ekstremis agama”.

Sejak tahun 2014, ABIM telah menggerakkan agenda Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (PCVE) bersama-sama antaranya Kementerian Belia & Sukan, Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman serta Kementerian Luar Negeri (melalui Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan – SEARCCT).

Sehubungan dengan itu, mulai hari ini ABIM menggerakkan pula kempen tanda pagar #KitaKawan #SebarkanSalam #TolakKebencian #SayangiMalaysiaku sebagai peringatan terhadap keharmonian hidup yang dirintis sekian lama serta perlu dipertahankan daripada dibakar dengan api perkauman oleh pihak yang berkepentingan sempit.

ABIM menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit, fahaman agama mahupun ideologi politik untuk bersama-sama memuatnaik gambar mahupun video berunsur perpaduan kaum di media sosial masing-masing dengan tanda pagar yang disebutkan di atas.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membawa mesej kasih sayang dan menjauhi kebencian.

Zairudin Hashim, Naib Presiden ABIM.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo