
Siri Wacana Bergerak MADANI Angkat Pemikiran Siddiq Fadzil dalam Konteks Semasa
NILAI, 17 Jun 2025 – Siri Wacana Bergerak MADANI yang bertemakan “Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil dalam Konteks Semasa” berlangsung hari ini di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. Program ini menghimpunkan tokoh pemikir dan pemimpin negara bagi mengupas warisan intelektual Prof. Siddiq Fadzil, figura penting dalam pemikiran Islam dan wacana kebangsaan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan serta ucapan daripada Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM.

Turut menyampaikan pandangan ialah Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL; Dato’ Jaafar Bin Muhammad, Pegawai Agama kepada Menteri Besar Negeri Sembilan; serta Encik Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Mohd Faridh Hafez Omar (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM), dan Prof Madya Mashitah Sulaiman (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Teras USIM).

Wacana ini dianjurkan secara bersama oleh Universiti Selangor (UNISEL), Institut Darul Ehsan (IDE), YDK Research, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, serta ABIM. Acara ini memberi ruang penting kepada pengukuhan pemikiran Siddiq Fadzil dalam membina masyarakat Malaysia yang lebih berteraskan nilai, ilmu dan kesedaran kebangsaan.
