
KENYATAAN MEDIA
15 Julai 2025 / 9 Muharram 1447H
ABIM GESA KERAJAAN TOLAK PELANTIKAN NICK ADAMS SEBAGAI DUTA AS KE MALAYSIA
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia. Rekod kenyataan dan pendirian beliau yang bersifat ekstrem, anti-Palestin dan menolak prinsip hak asasi manusia sejagat, jelas bertentangan dengan nilai masyarakat majmuk dan dasar luar Malaysia.
ABIM berpandangan bahawa kedudukan Malaysia sebagai negara yang menjunjung dasar luar berasaskan prinsip MADANI — memperjuangkan maruah insan, solidariti kemanusiaan dan keamanan sejagat — wajar dijaga dengan penuh hemah. Oleh itu, kami menggesa Kerajaan Malaysia untuk meneliti secara kritikal kesan jangka panjang terhadap hubungan dua hala sekiranya pelantikan ini diteruskan.
Malaysia berhak menolak mana-mana calon duta yang tidak mencerminkan semangat saling menghormati, selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna tentang Perhubungan Diplomatik 1961 (Vienna Convention on Diplomatic Relations, VCDR). Ini penting bagi memastikan hubungan diplomatik Malaysia tidak dikaburi oleh unsur yang boleh merosakkan persefahaman bersama dan nilai keadilan antarabangsa yang kita dukung.
AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
