
15 Julai 2026: Universiti Islam Selangor (UIS) telah mengadakan satu sesi perbincangan dan sumbang saran bersama Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta pasukan penyelidik daripada Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universitas Islam Negeri (UIN) Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi, Indonesia.
Grass Malaysia adalah pertubuhan di bawah rangkaian dakwah ABIM yang memberi perhatian khusus dalam bidang advokasi dan kelestarian alam sekitar.
Pasukan penyelidik tersebut melakukan kajian untuk “Interfaith Environmentalism: Religious Networks and Ecological Activism in Indonesia and Malaysia” , bertujuan untuk mengkaji peranan rangkaian keagamaan serta aktivisme ekologi dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar di Malaysia dan Indonesia.
Dalam sesi tersebut, pihak penyelidik ingin memanfaatkan pengalaman serta perspektif ABIM dalam bidang dakwah, aktivisme dan advokasi terhadap agenda kelestarian alam sekitar dan pemerkasaan masyarakat.
Delegasi penyelidik diketuai oleh Pensyarah Kanan merangkap Penolong Dekan (Inovasi dan Penyelidikan) UIS, Dr. Noor Hafizah Mohd. Haridi, bersama penyelidik dari UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi, Dr. Zulfan Taufik. Turut menyertai delegasi ialah Muhammad Fajri, M.Sos., dan Abdul Gafffar, M.Sosio.
Semasa sesi perbincangan tersebut Grass Malaysia telah diwakili oleh M Yusaimi Yusof selaku presidennya, dan Khairul Ridhwan Adha Akhyar (Timbalan Presiden), telah berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai dakwah dalam perjuangan alam sekitar.
Ini meliputi penghayatan terhadap hikmah serta kearifan tempatan dalam pemeliharaan alam sekitar. Menurut M Yusaimi Yusof ini dapat dilihat dalam aspek reka bentuk rumah-rumah tradisional Melayu, yang membantu kitaran kelestarian alam sekitar.
M Yusaimi Yusof dan Khairul Ridhwan Adha Akhyar kemudian berkongsi inisiatif-inisiatif yang pernah dijalankan dalam bentuk latihan serta pendedahan yang dilakukan Grass Malaysia semenjak tahun 2014.
Ini termasuk terapi alam sekitar untuk memulihkan kekuatan dan kesihatan mental yang telah dibuktikan potensinya.
Pertemuan ini turut dihadiri Penolong Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly.
