PROFESOR JOHN L. ESPOSITO: SEORANG SAHABAT DUNIA ISLAM, ILMUWAN YANG MEMBINA JAMBATAN PERSEFAHAMAN

July 17, 2026
firdaus Abim

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)

PROFESOR JOHN L. ESPOSITO: SEORANG SAHABAT DUNIA ISLAM, ILMUWAN YANG MEMBINA JAMBATAN PERSEFAHAMAN

17 Julai 2026 I 02 Safar 1448H

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Profesor John L. Esposito, seorang tokoh akademik bertaraf dunia yang telah mendedikasikan lebih lima dekad kehidupannya untuk memperbetulkan salah faham terhadap Islam serta membina jambatan persefahaman antara dunia Islam dan Barat.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia akademik, malah kepada dunia Islam keseluruhannya. Dalam era yang sering dicemari Islamofobia, polarisasi dan salah faham terhadap umat Islam, Profesor Esposito tampil sebagai antara suara akademik yang paling berwibawa dalam mempertahankan keadilan, kebenaran dan integriti ilmu.

Sesungguhnya, pemergian Profesor John L. Esposito mengingatkan kita kepada satu generasi ilmuwan yang percaya bahawa ilmu bukan sekadar untuk memahami dunia, tetapi juga untuk membina jambatan antara manusia. Tradisi keilmuan inilah yang diwarisi daripada gurunya, Allahyarham Profesor Ismail Raji Al Faruqi, ketika menuntut di Temple University, lalu diterjemahkan sepanjang perjalanan akademiknya melalui penyelidikan, penulisan dan dialog yang sentiasa menghubungkan dunia Islam dengan masyarakat Barat berasaskan keadilan, saling menghormati dan pencarian kebenaran.

Sepanjang kerjayanya, Profesor Esposito mengasaskan Prince Alwaleed bin Talal Center for Muslim Christian Understanding di Georgetown University, menyunting ‘The Oxford Encyclopedia of the Islamic World’, pernah berkhidmat sebagai Presiden Middle East Studies Association of North America (MESA), serta menghasilkan puluhan karya yang menjadi rujukan utama di universiti, institusi penyelidikan dan pembuat dasar di seluruh dunia.

Antara karya beliau yang paling berpengaruh ialah ‘Islam: The Straight Path’, ‘The Islamic Threat: Myth or Reality?’, ‘Unholy War: Terror in the Name of Islam’, ‘What Everyone Needs to Know About Islam’, ‘Who Speaks for Islam? What a Billion Muslims Really Think’ bersama Dalia Mogahed serta ‘Makers of Contemporary Islam’ bersama John O. Voll. Karya-karya ini bukan sahaja memperkayakan khazanah keilmuan Islam kontemporari, bahkan membantu mengubah cara dunia memahami Islam, khususnya selepas tragedi 11 September 2001 ketika sentimen Islamofobia semakin memuncak.

Dalam ‘Who Speaks for Islam?’, yang berasaskan kajian empirikal terhadap masyarakat Islam di pelbagai negara, beliau membuktikan bahawa majoriti umat Islam ialah masyarakat yang sederhana, cintakan keamanan, menginginkan kehidupan yang bermaruah serta terbuka kepada kemajuan dan pembaharuan tanpa meninggalkan identiti agama mereka.

Beliau secara konsisten menolak tanggapan bahawa Islam merupakan ancaman kepada dunia. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa Islam ialah agama yang mengajak kepada keamanan, keadilan dan komitmen kepada Tuhan. Seperti yang pernah beliau ungkapkan:

“Islam means a strong commitment to God and shares the same Arabic root as the word for peace, or salaam.”

Bagi ABIM, Profesor Esposito mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam kontemporari. Beliau merupakan antara sarjana antarabangsa terawal yang memberikan perhatian serius terhadap kebangkitan Islam di Malaysia serta memperkenalkan pengalaman ABIM kepada dunia akademik sebagai sebuah gerakan dakwah, tajdid dan masyarakat madani yang signifikan di Asia Tenggara.

Melalui penulisan, ensiklopedia dan pelbagai forum akademik antarabangsa, beliau membantu membentuk kefahaman bahawa gerakan Islam seperti ABIM memainkan peranan penting dalam pembangunan insan, pendidikan, reformasi sosial, dialog antara agama serta pengukuhan demokrasi. Ketika sebahagian wacana antarabangsa lebih cenderung melihat gerakan Islam melalui lensa konflik dan ekstremisme, Profesor Esposito memilih untuk memahami realiti secara lebih adil dan objektif.

Hubungan beliau dengan Malaysia turut terjalin erat melalui persahabatan yang panjang dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak era kepimpinan beliau dalam ABIM pada dekad 1970-an. Persahabatan tersebut berkembang menjadi hubungan intelektual yang berkekalan selama lebih lima puluh tahun. Profesor Esposito sering menjadikan pengalaman Malaysia sebagai antara contoh penting bagaimana Islam, demokrasi, masyarakat majmuk dan pembangunan dapat bergerak secara seiring, serta bagaimana gerakan Islam mampu menjadi agen pembaharuan masyarakat melalui pendidikan, dakwah dan penglibatan masyarakat sivil.

ABIM sendiri berpeluang berinteraksi dengan Profesor Esposito dalam pelbagai persidangan, seminar, dialog serta wacana ilmiah sepanjang beberapa dekad. Beliau sentiasa menunjukkan keluasan ilmu, sifat rendah hati dan keterbukaan untuk berdialog dengan pelbagai pihak. Beliau menghargai pengalaman Islam di Asia Tenggara dan melihat rantau ini sebagai antara model penting perkembangan Islam yang sederhana, inklusif serta berorientasikan pembinaan masyarakat dan peradaban.

Sesungguhnya, jasa terbesar Profesor Esposito bukan sekadar menghasilkan buku atau melahirkan sarjana baharu. Sumbangan beliau yang paling bermakna ialah mengembalikan dimensi kemanusiaan dalam perbahasan mengenai Islam. Ketika ramai memilih untuk menghakimi, beliau memilih untuk memahami. Ketika ramai membina tembok pemisah antara tamadun, beliau membina jambatan dialog. Ketika Islam sering menjadi mangsa stereotaip dan prasangka, beliau mempertahankan fakta, penyelidikan dan kejujuran akademik.

Dunia Islam hari ini kehilangan seorang sahabat yang telah menggunakan ilmunya untuk memperjuangkan persefahaman, keamanan dan keadilan. Dunia akademik pula kehilangan seorang ilmuwan yang membuktikan bahawa ilmu yang dipandu oleh integriti dan keberanian moral mampu menjadi asas kepada hubungan yang lebih harmoni antara agama, budaya dan tamadun.

ABIM merakamkan ucapan takziah kepada isteri beliau, Jean, seluruh ahli keluarga, rakan akademik, para pelajar dan semua yang mengenali beliau. ABIM juga merakamkan setinggi tinggi penghargaan atas segala jasa dan sumbangan Profesor John L. Esposito dalam memperkaya wacana Islam kontemporari, memperkukuh dialog antara agama serta memperkenalkan wajah Islam yang sebenar kepada masyarakat antarabangsa.

Legasi Profesor John L. Esposito akan terus hidup melalui karya, pemikiran dan generasi sarjana yang meneruskan tradisi ilmu yang beliau tinggalkan. Dalam dunia yang semakin terpolarisasi, beliau membuktikan bahawa ilmu yang jujur mampu mengatasi prasangka, manakala dialog yang ikhlas sentiasa lebih ampuh daripada kebencian. Semoga legasi beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang dalam membina sebuah dunia yang lebih adil, damai dan saling menghormati.

‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Presiden

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo