
17 Disember 2025 / 26 Jamadil Akhir 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa ukuran sebenar keberkesanan penyusunan semula Kabinet bukan terletak hanya kepada komposisi politik atau latar belakang individu semata-mata, tetapi kepada keupayaan penyampaian dasar dan keberhasilan tadbir urus. Dalam konteks negara yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran pekerjaan belia, tuntutan reformasi institusi serta keperluan memperkukuh integriti dan keadilan sosial, rakyat akan menilai kerajaan melalui hasil yang nyata dan boleh dirasai.
ABIM berpandangan bahawa tempoh pasca penyusunan semula ini mesti dimanfaatkan untuk mempercepat pelaksanaan dasar yang jelas, disokong oleh petunjuk prestasi yang boleh diukur serta mekanisme akauntabiliti yang telus. Kejayaan Kabinet baharu hanya akan diabsahkan apabila dasar diterjemahkan kepada penghasilan yang memperbaiki kehidupan rakyat, bukan sekadar perubahan struktur atau pembaikan naratif politik.

ABIM menyeru agar setiap Menteri dan Timbalan Menteri yang diberikan amanah, termasuk dari kalangan generasi muda, memikul tanggungjawab ini dengan budaya kerja berteraskan amanah, kecekapan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban. Kepercayaan rakyat yang semakin rapuh tidak boleh dipulihkan melalui retorik atau simbol semata mata, tetapi melalui kesungguhan bekerja, keberanian membuat keputusan yang betul dan kesediaan dipertanggungjawabkan atas kegagalan.
Dalam semangat kenegaraan, ABIM merakamkan ucapan selamat menjalankan tugas dan amanah kepada seluruh Jemaah Menteri yang baharu dilantik. Semoga setiap mandat yang diberikan dilaksanakan dengan keinsafan bahawa kuasa adalah amanah, dan jawatan adalah tanggungjawab kepada rakyat serta Allah SWT.
ABIM akan terus memainkan peranan sebagai rakan kritikal yang konstruktif, menyokong langkah yang memperkukuh kestabilan dan reformasi negara, serta menegur secara berprinsip dan konsisten sekiranya berlaku penyimpangan daripada amanah rakyat dan prinsip keadilan.
‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
