
8 Disember 2025 – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sanis Islam Malaysia telah menganjurkan ‘Wacana Ketokohan Dakwah: Mengangkat Legasi Pemikiran Dakwah Almarhum Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali’ yang diadakan di Perpustakaan USIM. Bersempena wacana ini, Sdr Muhamad Aliemran Bin Norasid, Naib Presiden ABIM telah tampil sebagai ahli panel dalam Forum Memoir Ketokohan Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali.
Dalam intipati Forum Memoir Ketokohan Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, Sdr Aliemran telah mengangkat tiga watak yang diketengahkan oleh Almarhum sepanjang penglibatan beliau dalam kegiatan dakwah ABIM.

Pertama, almarhum telah tampil sebagai seorang idealog yang menyerahkan diri kepada pembangunan pemikiran, penulisan dan penerbitan buku sesuai dengan budaya ilmu dan pembinaan intelektual yang diangkat oleh ABIM.
Kedua, almarhum juga seorang aktivis dakwah lapangan yang turun kepada umat menyampaikan Islam tanpa mengenal tempat dan kumpulan masyarakat. Beliau memainkan peranan sebagai daie walaupun berhadapan dengan ujian kesihatan.

Watak ketiga adalah sebagai seorang murobbi. Walaupun bertugas sebagai pensyarah, almarhum tidak mengehadkan peranan mendidik di dewan kuliah. Beliau sering kaling berdamping dengan pelajar, membimbing dengan nasihat dan dorongan juga bersama-sama pelajar melaksanakan kegiatan dakwah.
Wacana ini telah dirasmikan oleh YB Senator Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Selain wacana, Perpustakaan USIM turut mempamerkan koleksi buku-buku milik Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin yang telah diwaqafkan kepada perpustakaan dan buku-buku yang pernah dikarang oleh almarhum.
