
30 Januari 2026 – Alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Peluncuran Kempen Sinar Ramadan 2026 bertempat di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir sama YB Senator Ustazah Marhamah Rosli, Timbalan Menteri Agama serta YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM.
Kempen tahunan ini merupakan manifestasi komitmen ABIM dalam memperkukuh agenda dakwah dan kebajikan buat masyarakat, khususnya dalam mendepani bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Antara teras utama pengisian kempen ini termasuklah Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), Dapur Helwa Ramadan, Infaq Ramadan, Ceria Aidilfitri, iftar muhibah dan edaran bubur lambuk.

Program pembangunan kerohanian turut disertakan melalui penganjuran Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT), siri Tazkirah Ramadan, serta edaran Buku Pedoman Ramadan.
YB Senator Dr. Zulkifli turut merasmikan Program Ramadan Iftar For The Needy; kempen iftar kepada masyarakat Islam luar negara anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia serta Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB); ruang dakwah pelbagai program kendalian ABIM.

ABIM menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama mendokong usaha murni ini. Segala sumbangan dan keterlibatan anda amatlah dihargai bagi memastikan sinar Ramadan dapat dirasai oleh semua. Sumbangan boleh disalurkan secara telus melalui portal Infaq ABIM di:
Semoga usaha kecil ini diberkati Allah SWT dan menjadi wasilah buat kita mencapai darjat ketakwaan yang hakiki.
