SEHINGGA SEMUA SELAMAT: HIJRAH, KARAMAH INSANIAH DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI

June 20, 2026
admin

Oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Ketua Pegawai Eksekutif, Global Peace Mission (GPM) Malaysia

Setiap zaman mempunyai persoalan peradabannya yang tersendiri. Dalam konteks Malaysia hari ini, antara persoalan yang sedang menguji kematangan bangsa dan negara ialah bagaimana kita menyikapi isu pelarian ketika ketakutan, kemarahan dan prasangka semakin mempengaruhi sebahagian wacana awam.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perbahasan mengenai pelarian Rohingya telah memperlihatkan sisi terbaik dan sisi paling membimbangkan dalam masyarakat kita. Ada yang tampil mempertahankan prinsip kemanusiaan dan keadilan. Namun tidak kurang juga yang memilih jalan stereotaip, penghinaan, dehumanisasi dan seruan yang melangkaui batas undang-undang serta nilai kemanusiaan.

Fenomena ini menjadikan isu pelarian bukan lagi sekadar persoalan migrasi atau keselamatan. Ia telah menjadi cerminan kepada nilai yang sedang membentuk masyarakat kita. Yang sedang diuji bukan hanya dasar negara, tetapi juga keupayaan kita untuk mempertahankan kewarasan, keadilan dan karamah insaniah ketika berhadapan dengan keresahan dan ketidaktentuan.

Dalam banyak hal, cara kita melayan golongan yang paling lemah atau mustadafin akan menentukan bagaimana sejarah menilai kita kelak. Hari ini, dunia turut memerhatikan sama ada Malaysia akan terus dikenang sebagai sebuah negara yang menjunjung rahmah, keadilan dan kemanusiaan, atau terperangkap dalam gelombang xenofobia, ketakutan, kebencian dan politik perpecahan yang sedang melanda banyak masyarakat lain.

Pada 20 Jun setiap tahun, dunia memperingati Hari Pelarian Sedunia sebagai tanda solidariti terhadap jutaan manusia yang terpaksa meninggalkan tanah air akibat peperangan, konflik bersenjata, penindasan, pencabulan hak asasi manusia dan bencana kemanusiaan. Tahun ini, sambutan tersebut membawa tema “Until Everyone Is Safe” atau “Sehingga Semua Selamat”, bersempena ulang tahun ke-75 Konvensyen Geneva 1951 mengenai Status Pelarian.

Tema ini mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa keselamatan dan perlindungan manusia tidak boleh dianggap sebagai hak istimewa yang dinikmati oleh sebahagian pihak sahaja. Ia merupakan tanggungjawab bersama seluruh umat manusia.

Namun di Malaysia, Hari Pelarian Sedunia tahun ini hadir dalam suasana yang lebih mencabar daripada tahun-tahun sebelumnya. Perbahasan mengenai pelarian, khususnya melibatkan komuniti Rohingya, semakin hangat dan kadangkala tegang.

Hakikatnya, masyarakat mempunyai hak untuk berasa bimbang. Kebimbangan mengenai keselamatan awam, peluang pekerjaan, tekanan terhadap kemudahan sosial, isu dokumentasi, kebersihan persekitaran, kos kesihatan awam dan pelbagai cabaran lain yang dikaitkan dengan kehadiran pelarian adalah perkara yang wajar dibincangkan secara terbuka. Kebimbangan tersebut tidak boleh dinafikan atau dipandang ringan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara, undang-undang dihormati dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Namun dalam masa yang sama, kebimbangan tidak boleh bertukar menjadi kebencian. Keresahan terhadap kelemahan dasar tidak boleh menjadi alasan untuk menafikan kemanusiaan seseorang. Perasaan marah terhadap sesuatu masalah tidak boleh diterjemahkan menjadi kebencian terhadap seluruh kelompok manusia yang berada dalam keadaan serba terdesak.

Sebahagian daripada ketegangan yang berlaku hari ini juga berpunca daripada penyebaran maklumat yang tidak tepat, separuh benar atau sengaja dimanipulasi. Dalam dunia digital, kebencian sering bergerak lebih pantas daripada fakta. Naratif yang tidak disemak berulang kali sehingga akhirnya diterima sebagai kebenaran. Fenomena ini sering digambarkan oleh para sarjana sebagai manufactured ignorance, iaitu kejahilan yang direka dan disebarkan secara sistematik sehingga masyarakat kehilangan keupayaan untuk membezakan antara fakta, persepsi dan propaganda.

Lebih malang lagi apabila isu pelarian mula dijadikan bahan persaingan politik dan eksploitasi sentimen awam. Sejarah di pelbagai negara menunjukkan bahawa ketika masyarakat berdepan tekanan ekonomi, ketidaktentuan politik atau keresahan sosial, golongan yang paling lemah dan tidak mempunyai suara politik sering dijadikan sasaran untuk dipersalahkan.

Malaysia tidak harus terjerumus ke dalam perangkap yang sama. Dalam suasana yang semakin tegang, peranan pemimpin politik, agama, pendidik, media, pempengaruh dan tokoh masyarakat menjadi semakin penting. Mereka seharusnya menjadi jambatan yang merapatkan jurang persefahaman, bukan memperdalamkan kebencian dan prasangka.

Dalam tradisi Islam, para pendakwah dan pemimpin masyarakat dituntut menjadi agen rahmah, pendamai dan pembela keadilan. Ketika masyarakat berdepan ketakutan dan keresahan, suara yang diperlukan bukanlah suara yang menyemarakkan api kebencian, tetapi suara yang memandu masyarakat kepada hikmah, keadilan dan ihsan.

Di sinilah pentingnya membezakan antara menangani masalah dan membenci manusia. Seseorang yang melakukan kesalahan hendaklah dipertanggungjawabkan menurut undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan, etnik atau status mereka. Tetapi menghukum keseluruhan komuniti atas kesalahan segelintir individu bukanlah keadilan.

Menurut Ketua Polis Negara, seramai 89 individu Rohingya direkodkan terlibat dalam kes jenayah sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, mewakili sekitar 0.02 peratus daripada keseluruhan kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh yang sama. Statistik ini tidak menafikan kewujudan masalah yang perlu ditangani. Sebarang kesalahan mesti disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya. Namun keadilan menuntut agar hukuman dikenakan kepada pelaku, bukan kepada seluruh komuniti.

Dalam Islam, prinsip ini berakar pada konsep karamah insaniah, iaitu kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.” (Surah al Isra’, ayat 70).

Lebih signifikan lagi, Hari Pelarian Sedunia tahun ini hadir ketika umat Islam baru sahaja memasuki tahun baharu Hijrah 1448H.

Hakikatnya, sejarah Islam sendiri bermula dengan kisah manusia yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka demi menyelamatkan maruah, akidah dan keselamatan diri. Hijrah bukan sekadar perpindahan geografi. Ia adalah kisah penderitaan, kehilangan, pengorbanan dan pencarian perlindungan.

Sebelum hijrah ke Madinah, sebahagian umat Islam berhijrah ke Habsyah dan mendapat perlindungan daripada Raja Najashi yang beragama Kristian kerana baginda terkenal sebagai seorang pemerintah yang adil. Begitu juga dengan Perjanjian Hilf al Fudul yang dipuji oleh Rasulullah SAW kerana mempertahankan golongan yang dizalimi dan menjunjung keadilan merentasi batas kabilah dan kepentingan sempit.

Sudah tentu pengalaman pelarian moden tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Negara moden mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih kompleks dalam menjaga sempadan, keselamatan dan kepentingan rakyatnya. Namun semangat yang terkandung dalam hijrah tetap relevan. Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap angka statistik dan polemik politik terdapat manusia yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Pengalaman berinteraksi dengan komuniti pelarian selama bertahun-tahun sering mengingatkan saya bahawa di sebalik istilah “pelarian” terdapat manusia biasa yang mempunyai harapan, ketakutan dan impian yang tidak jauh berbeza daripada kita.

Saya pernah bertanya kepada seorang pelarian apakah harapan terbesar beliau terhadap anak yang bakal dilahirkan. Jawapannya ringkas tetapi sangat mengesankan: “Saya hanya berharap anak ini lahir sebagai seorang yang warganegara.”

Pada ketika itu saya tersedar bahawa sesuatu yang sering kita anggap biasa sebenarnya merupakan nikmat yang luar biasa bagi orang lain. Bagi sebahagian pelarian, kewarganegaraan bererti identiti, perlindungan, hak, masa depan dan rasa aman bahawa mereka mempunyai tempat yang boleh dipanggil sebagai tanah air.

Mungkin inilah antara peluang yang kurang dimanfaatkan dalam sambutan Maal Hijrah tahun ini. Ketika kita memperingati hijrah sebagai titik mula pembinaan tamadun Islam yang baharu, kita juga seharusnya merenung realiti jutaan manusia di seluruh dunia yang masih hidup dalam keadaan terpaksa meninggalkan tanah air mereka akibat peperangan, penindasan dan konflik yang tidak berkesudahan.

Maal Hijrah mengingatkan kita bahawa mempertahankan keselamatan negara dan mempertahankan kemuliaan insan bukanlah dua tujuan yang saling bertentangan. Sebaliknya, kedua-duanya perlu bergerak seiring dalam sebuah masyarakat yang beradab.

Perlu juga diingat bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang asing daripada pengalaman mengurus dan membantu pelarian. Dari Pulau Bidong yang menempatkan pelarian Vietnam, kepada pelarian Kemboja, masyarakat Cham, komuniti Moro, Bosnia, Syria dan Palestin, sejarah negara menunjukkan bahawa pendekatan Malaysia terhadap pelarian selama ini dibentuk oleh gabungan pertimbangan kemanusiaan, tanggungjawab serantau dan realiti setempat.

Dalam konteks Malaysia hari ini, aspirasi untuk hidup bersama secara aman, adil dan bermaruah turut selari dengan semangat Malaysia MADANI yang meletakkan nilai kemanusiaan, ihsan, hormat, kesejahteraan dan tanggungjawab sebagai asas pembinaan negara. Kekuatan sesebuah masyarakat bukan diukur pada kemampuannya menghapuskan perbezaan, tetapi pada keupayaannya mengurus perbezaan secara adil dan beradab.

Dalam dunia yang semakin dicengkam polarisasi, politik identiti dan penyebaran kebencian melalui media sosial, cabaran sebenar bukan lagi sekadar bagaimana mengurus kepelbagaian, tetapi bagaimana membina masyarakat yang mampu hidup bersama secara aman, adil dan bermaruah.

Hidup bersama dalam budaya damai bukan bererti menafikan perbezaan atau menutup mata terhadap masalah yang wujud. Sebaliknya, ia menuntut keberanian untuk mengurus perbezaan secara matang, menyelesaikan konflik melalui dialog serta mempertahankan maruah setiap insan tanpa mengorbankan keselamatan dan kepentingan bersama.

Apa yang diperlukan bukanlah pendekatan yang hanya digerakkan oleh emosi atau sentimen semasa, tetapi satu kerangka dasar yang lebih menyeluruh, melibatkan perkongsian tanggungjawab serantau, sokongan komuniti antarabangsa, pengurusan yang lebih sistematik serta penglibatan masyarakat setempat.

Dalam masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia turut menanggung pelbagai kos dan cabaran dalam mengurus kehadiran pelarian. Realiti ini perlu diakui secara jujur. Namun penyelesaian kepada isu pelarian tidak boleh diletakkan sepenuhnya di atas bahu negara transit seperti Malaysia. Krisis pelarian pada hakikatnya juga mencerminkan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mencegah peperangan, menghentikan penindasan dan menyediakan penyelesaian yang adil kepada mangsa konflik.

Pada akhirnya, persoalan terbesar yang sedang diuji bukanlah mengenai pelarian semata-mata. Persoalan yang sedang diuji ialah siapakah kita sebagai sebuah masyarakat. Adakah kita akan membiarkan ketakutan membentuk cara kita melihat manusia lain? Adakah kita akan membiarkan kemarahan mengatasi keadilan? Atau adakah kita mampu mempertahankan keselamatan negara tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada sebuah tamadun yang beradab?

Ukuran kekuatan sesebuah negara bukan sekadar pada keupayaannya mempertahankan sempadan, tetapi juga pada keupayaannya mempertahankan nilai yang menjadi asas kepada peradabannya.

Sejarah tidak akan menilai kita hanya berdasarkan bagaimana kita melayan mereka yang kuat dan berpengaruh. Sejarah juga akan menilai bagaimana kita bertindak ketika berdepan golongan yang paling lemah, paling terdedah dan paling mudah dipersalahkan.

Dalam dunia yang semakin terbelah oleh ketakutan, kebencian dan politik perpecahan, mempertahankan karamah insaniah dan hidup bersama dalam budaya damai mungkin merupakan antara jihad kemanusiaan yang paling penting pada zaman ini.

Kerana sehingga semua selamat, kemanusiaan kita sendiri masih sedang diuji.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo