Hijrah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor perlindungan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi.
Oleh Dr SIDDIQ FADZIL

KALAU mahu, Allah boleh menghijrahkan rasul-Nya dari Makkah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya. Dengan menitahkan Buraq menerbangkan Junjungan s.a.w. (seperti dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu) secepat kilat Junjungan sudah boleh sampai ke destinasi hijrahnya dalam keadaan yang selesa dan selamat.
Tetapi yang jelas Tuhan tidak menghendakinya demikian. Hijrah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan faktor perlindungan Ilahi dengan ikhtiar manusiawi.
Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga jaya penuh dengan insiden-insiden yang dramatik, cemas dan mendebarkan.
Memang Rasulullah s.a.w. mendapat perlindungan Tuhan, tetapi Junjungan juga terpaksa menempuh perjalanan yang serba pahit dan perit. Bukannya mudah untuk lepas dari jaring-jaring maut Quraisy yang berhabis-habisan memburu Junjungan s.a.w. Demikian rupanya strategi Quraisy, namun strategi hijrah jauh lebih rapi.
Sejak mula Rasulullah s.a.w. memang sudah yakin bahawa Tuhan akan melindunginya, meskipun demikian Junjungan tidak pernah berasa terkecuali daripada kewajiban berikhtiar merencanakan strategi hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting junjungan termasuklah:
Junjungan juga tidak terus berangkat ke Madinah selepas keluar dari Makkah, sebaliknya Junjungan berhenti singgah di gua Thawr selama tiga hari. Selepas tempoh itu barulah Junjungan meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan Quraisy sudah mendendur.
Nyatalah dari fakta-fakta berkenaan hijrah bukan cuma serentetan peristiwa accidental atau peristiwa kebetulan yang terjadi dalam budaya pasif dan fatalistik. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang perenangnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan yang pasif, tetapi harus dikerjakan dengan perencanaan yang cukup strategik. Yang dimaksudkan dengan perencanaan atau planning ialah suatu proses menentukan matlamat, menggariskan kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat. Yang dimaksudkan dengan strategi pula ialah penggabungan dan kepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.
Perencanaan juga disebut sebagai jambatan di antara masa kini dan masa depan (jisrun bayna ’l-hadiri wa’l-mustaqbal) yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada masa depan. Ketika Tuhan memerintahkan kita agar bersiap semaksimumnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan (al-Anfal: 60), ayat tersebut dapat diertikan sebagai perintah membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan ada kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan teknologi persenjataan.
Oleh kerana ancaman yang dihadapi oleh umat Islam tidak lagi terbatas hanya dalam bidang ketenteraan, malah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya dan ekonomi, maka perintah tuhan wa’iddu lahum… (bersiaplah menghadapi mereka…) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan strategik dalam bidang lain seperti kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Al-Quran juga menampilkan Nabi Yusuf a.s. sebagai tokoh mithali perancang ekonomi sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Yusuf, ayat 47-49 (Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang akan menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit) kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”).
Ternyata daripada ayat itu Nabi Yusuf a.s. menyarankan suatu perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu empat belas tahun dengan membuat pertimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan yang futuristik itu, krisis ekonomi yang dikhuatiri akan menimpa negara, dapat dihindar.
Dalam surah Yusuf, ayat 67 juga terdapat penjelasan tentang perencanaan Nabi Yaakub mengenai cara yang paling strategik untuk anak-anaknya memasuki kota, iaitu dengan melalui pintu-pintu yang berlainan (min abwabin mutafarriqah), tidak menumpu di satu pintu saja (min babin wahidin).
Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik. Sehubungan itu, budaya ad hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar daripada ajaran Islam.
Memang manusia hanya merencana, Tuhan jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya itu.
Demikianlah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah cukup rapi dan strategik. Tetapi ada pasukan kurang berdisiplin lalu mengabaikan pelaksanaan strategi direncanakan. Akibatnya pasukan Islam mengalami pukulan teruk. Ketika mereka mengadakan post-mortem untuk mencari punca musibahnya, turunlah jawapan dari langit qui huwa min ’indi anfusikum (katakan: ia adalah akibat daripada gara-gara kita sendiri).
* Artikel bertarikh Ahad, 5 Julai 1992 ini merupakan salah satu artikel berkala tulisan Allahyarham Siddiq Fadzil yang disiarkan di dalam surat khabar Berita Minggu di ruangan MINDA.
