
9 Februari 2026 / 21 Syaaban 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut pendirian YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum dan semua pihak wajib menghormati undang undang, termasuk dalam isu rumah ibadat yang dibina di tapak tidak sah.
ABIM berpandangan ketegasan ini penting bagi memulihkan disiplin pentadbiran, mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi, serta menutup ruang manipulasi sentimen kaum dan agama yang semakin membimbangkan.
Namun ABIM turut menegaskan bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mestilah dilaksanakan secara adil, konsisten, berintegriti dan berhemah, tanpa penguatkuasaan terpilih atau standard berganda yang boleh mencetuskan ketegangan baharu.
Sehubungan itu, ABIM mengusulkan beberapa langkah bagi memastikan penyelesaian yang sah serta harmoni:
1. Penguatkuasaan tegas terhadap binaan baharu yang jelas melanggar undang undang, dan dilaksanakan secara berperingkat serta berhemah.
2. Pemutihan bersyarat bagi rumah ibadat lama yang terbina akibat kecuaian sistem, termasuk pendaftaran rasmi, pematuhan aspek keselamatan, serta penyelesaian status tanah melalui proses yang telus dan sah.
3. Penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Ibadat di setiap negeri, melibatkan PBT, pejabat tanah, agensi agama negeri serta wakil badan agama bukan Islam yang sah, bagi memantau dan menyelesaikan isu sebelum menjadi krisis.
4. Keperluan rizab rumah ibadat pelbagai agama dalam pembangunan baharu, supaya isu yang sama tidak berulang dan keharmonian masyarakat majmuk tidak dikorbankan.
ABIM menyeru semua pihak menghentikan ucapan kebencian, penghinaan perkauman, serta provokasi agama yang hanya meninggalkan parut mendalam dalam masyarakat. Isu pematuhan undang undang tidak wajar dijadikan medan mengaibkan mana mana komuniti.
ABIM percaya Malaysia kekal kuat kerana kepelbagaian yang diurus dengan adil, berperaturan dan beradab, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat perpaduan nasional.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan.”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
