
27 Februari 2026 – Isu keganasan domestik sering kali dikaitkan dengan kecederaan fizikal, namun jarang dikaitkan dengan ‘penderaan kewangan’ yang membelenggu ramai mangsa.
Bagi mengupas isu ini, satu Perbincangan Meja Bulat (RTD) bertajuk “Enhancing Financial Literacy and Support Mechanisms for Domestic Violence Survivors: The Role of Islamic Financial Institution in Malaysia” telah berlangsung anjuran International Research Center of Islamic Economics and Finance (IRCIEF), Universiti Islam Selangor (UIS).
Sesi ini menampilkan barisan panelis daripada pelbagai sektor, termasuk Dr. Fatin Nur Majdina Nordin (Naib Presiden ABIM HELWA), Pn. Syakirah Ismail (AKPK), Pn. Jasmina Mokhtar (Bank Negara Malaysia), Pn. Ratna Sha’erah Kamaludin (AIBIM), dan Zati Hanani Zainol Abidin (WAO). Moderator sesi ialah Dr. Syarah Syahira Mohd Yusoff daripada UIAM.

Antara jenis penderaan kewangan ialah kawalan ketat akses wang, sabotaj kerjaya, sehinggalah kepada larangan bekerja yang sengaja dilakukan untuk mewujudkan ketidakseimbangan kuasa. Apabila mangsa hilang autonomi kewangan, kitaran ketergantungan menyukarkan mereka untuk keluar daripada situasi bahaya.
Para panelis sependapat bahawa menangani penderaan kewangan menuntut transformasi struktur yang melangkaui bantuan kebajikan bersifat sementara. Kolaborasi rentas sektor adalah kunci utama untuk memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan benar-benar membebaskan mangsa daripada belenggu ketergantungan dan memperkasa semula maruah serta ekonomi mereka secara mampan.
ABIM dan HELWA komited serta sedia bekerjasama menangani isu-isu sosial ini dalam usaha memperkasa wanita dan keluarga sekaligus membina masyarakat yang lebih terbela dan bertanggungjawab.
