9 Mac 2026 bersamaan 19 Ramadan 1447H

Dunia keilmuan Islam hari ini kehilangan salah seorang sarjana paling berpengaruh yang telah mengabdikan seluruh kehidupannya kepada usaha mengangkat martabat ilmu, adab serta pembinaan peradaban.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian sarjana ulung dunia Islam, Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan kepada dunia Islam serta tradisi keilmuan sejagat.
Allahyarham dikenang sebagai seorang tokoh pemikir besar yang telah memberikan sumbangan luar biasa kepada pembangunan pemikiran Islam, pendidikan serta pembinaan peradaban di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Dalam sejarah intelektual dunia Islam moden, beliau sering dianggap sebagai antara pemikir Islam paling penting pada zaman moden. Pemikiran beliau sering dibicarakan sebagai sebahagian daripada arus kebangkitan pemikiran Islam moden pada abad ke-20 yang berusaha mengembalikan keyakinan umat terhadap tradisi ilmu Islam serta membangunkan kerangka pemikiran yang mampu menghubungkan warisan intelektual Islam dengan cabaran dunia moden.
Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas merupakan seorang ilmuwan yang memiliki latar pendidikan yang luas dan mendalam. Dilahirkan di Bogor, Indonesia, beliau mendapat pendidikan awal di Sukabumi dan Johor Bahru sebelum melanjutkan pengajian di Royal Military Academy Sandhurst di England. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Malaya di Singapura sebelum memperoleh ijazah Sarjana di McGill University di Montreal serta PhD dari University of London dalam bidang teologi dan metafizik Islam.
Sepanjang hayatnya, beliau menghasilkan pelbagai karya ilmiah yang merangkumi bidang falsafah, metafizik Islam, sejarah, kesusasteraan, pendidikan serta peradaban Melayu Islam. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan menjadi rujukan penting dalam wacana pemikiran Islam kontemporari di seluruh dunia.
*Hubungan Sejarah dengan ABIM

Hubungan Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas dengan ABIM mempunyai nilai sejarah yang penting dan bermakna. Pada era awal perkembangan gerakan Islam ini, khususnya ketika YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memimpin ABIM, beliau menjadi antara tokoh pemikir yang banyak membimbing serta mencorakkan landasan intelektual gerakan.
Dalam konteks yang lebih luas, gagasan pemikiran Allahyarham turut memberikan pengaruh penting kepada perkembangan wacana kebangkitan intelektual Islam di Malaysia pada dekad 1970an, ketika generasi muda Muslim mula mencari kerangka pemikiran yang mampu menghubungkan tradisi keilmuan Islam dengan cabaran modeniti.
Melalui siri ceramah, diskusi ilmu serta wacana intelektual bersama pimpinan awal ABIM, beliau membantu memperkukuh tradisi keilmuan yang menekankan hubungan antara ilmu, adab serta pembinaan peradaban. Pemikiran beliau turut membantu membentuk kerangka kefahaman generasi awal pimpinan ABIM yang berusaha membangunkan gerakan dakwah yang berteraskan ilmu, kesedaran peradaban serta tanggungjawab terhadap masa depan umat.
Antara karya besar beliau yang memberi pengaruh penting ialah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) yang menghuraikan peranan Islam sebagai asas pembentukan identiti dan peradaban Melayu, Islam and Secularism (1978) yang diterbitkan oleh ABIM yang turut mengkritik sekularisasi pemikiran moden serta menegaskan keperluan memulihkan pandangan alam Islam, serta The Concept of Education in Islam (1980) yang memperkenalkan konsep ta’dib sebagai asas pendidikan dalam membina insan berilmu dan beradab serta serta karya mutakhir beliau Islam: The Covenants Fulfilled (2023) yang memperlihatkan kesinambungan renungan perjalanan intelektual beliau mengenai tanggungjawab moral, keadilan serta prinsip amanah dalam tradisi peradaban Islam.
Selain sumbangan pemikiran, Allahyarham turut mempunyai hubungan yang dekat dengan sejarah awal ABIM. Beliau merupakan antara tokoh yang terlibat dalam mereka bentuk logo ABIM yang kekal menjadi lambang perjuangan gerakan ini sehingga hari ini. Di samping itu, beliau juga mencetuskan idea penerbitan serta penamaan Risalah ABIM, yang menjadi wahana penting penyebaran pemikiran dan wacana dakwah pada peringkat awal gerakan.
*Kebangkitan Intelektual Dunia Islam
Dalam konteks sejarah pemikiran Islam moden, Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas merupakan antara sarjana yang berusaha mengangkat kembali martabat tradisi ilmu Islam ketika dunia Islam berhadapan dengan krisis identiti, sekularisasi pemikiran serta kekeliruan konsep ilmu.
Gagasan beliau mengenai Islamisasi ilmu, konsep ta’dib dalam pendidikan serta analisis mendalam mengenai krisis kehilangan adab telah membuka ruang kepada satu kebangkitan intelektual yang menegaskan bahawa pemulihan tamadun Islam mesti bermula dengan pemulihan pandangan alam, disiplin ilmu serta pembinaan insan beradab.
Melalui karya, institusi serta generasi murid yang dibimbingnya, termasuk peranan penting beliau dalam perkembangan awal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta penubuhan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Allahyarham telah meletakkan asas penting kepada satu tradisi keilmuan yang menggabungkan ketelitian ilmiah, kedalaman spiritual serta kesedaran peradaban.
Pengiktirafan Negara terhadap Tokoh Peradaban
ABIM berpandangan bahawa sumbangan Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas kepada pembangunan pemikiran Islam, pendidikan serta peradaban Melayu Islam adalah terlalu besar untuk dikenang sekadar dalam ruang akademik semata mata.
Beliau merupakan antara sarjana yang telah mengangkat nama Malaysia dalam wacana keilmuan dunia serta memberikan sumbangan besar kepada pembinaan kerangka pemikiran yang memartabatkan Islam sebagai asas peradaban bangsa.
Sehubungan itu, ABIM mencadangkan agar kerajaan Madani memberikan satu bentuk pengiktirafan nasional yang sewajarnya terhadap jasa dan sumbangan besar Allahyarham, termasuk pertimbangan untuk mengangkat beliau sebagai Tokoh Peradaban Negara atau melalui inisiatif lain yang setara agar legasi keilmuan beliau terus dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Pengiktirafan sedemikian bukan sekadar mengenang seorang sarjana besar, tetapi merupakan penghargaan terhadap tradisi keilmuan yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun bangsa.
Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Allah akan meninggikan darjat orang orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat.”
(Surah al Mujadilah, ayat 11)
Ayat ini mengingatkan bahawa kedudukan para ulama dan sarjana dalam tradisi Islam bukan sekadar dihormati kerana keilmuan mereka, tetapi kerana ilmu tersebut menjadi jalan kepada pembinaan insan, masyarakat serta peradaban yang berteraskan kebenaran dan keadilan.
Warisan pemikiran Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas juga mempunyai makna yang besar bagi masa depan Malaysia. Dalam usaha membina sebuah negara madani yang berteraskan nilai, keilmuan serta peradaban yang luhur, gagasan beliau mengenai hubungan antara ilmu, adab serta pembinaan insan menawarkan satu kerangka penting bagi membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak serta berkeupayaan menegakkan keadilan.
Pemergian Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas merupakan satu kehilangan besar kepada dunia intelektual Islam. Namun warisan ilmu, gagasan pemikiran serta tradisi keilmuan yang ditinggalkan akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.
Sebagaimana yang sering ditegaskan oleh Allahyarham, krisis terbesar yang dihadapi oleh umat manusia pada zaman moden bukan sekadar krisis ilmu, tetapi krisis kehilangan adab. Legasi pemikiran beliau mengingatkan kita bahawa pemulihan tamadun tidak bermula dengan kekuasaan atau kemajuan material semata-mata, tetapi dengan pemulihan adab, pengiktirafan terhadap kedudukan ilmu yang benar serta pembinaan insan berilmu dan berakhlak yang mampu menegakkan keadilan dalam masyarakat.
ABIM merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta para murid dan sahabat beliau di seluruh dunia. Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan, rahmat serta darjat yang tinggi kepada Allahyarham atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada umat.
Sesungguhnya pemergian seorang sarjana besar tidak pernah mengakhiri perjalanan ilmu yang ditinggalkannya. Selagi gagasan tentang ilmu, adab serta peradaban yang diperjuangkan oleh
Allahyarham terus difahami, diajarkan serta dihidupkan dalam kehidupan umat, selagi itulah warisan intelektual beliau akan terus menerangi perjalanan masa depan dunia Islam.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
