Pulau Seribu Ketam Merah

December 3, 2010
firdaus Abim

Pulau Krismas yang berkedudukan di tengah-tengah lautan Hindi merupakan sebuah pulau di bawah wilayah Australia walaupun secara geografi lebih dekat dengan Indonesia. Pulau Krismas merupakan pulau milik United Kingdom yang telah diserahkan kedaulatannya kepada Australia pada tahun 1958. Pulau Krismas amat terkenal dengan perlombongan baja fosfat yang dieksport ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ketibaan kami bersepuluh pada petang yang hening Oktober 2003 di lapangan terbang Pulau Krismas mendapat sambutan hangat daripada penduduk pulau yang rata-rata berasal dari Melaka. Seingat saya, melalui perbualan dengan penduduk setempat, mereka mula berhijrah ke Pulau mencari rezeki di sektor perlombongan baja fosfat sejak tahun 1960an.

Tempoh dua minggu berada di Pulau merupakan tempoh yang amat singkat. Kami mula belajar mengenali budaya hidup seharian penduduk pulau. Generasi mudanya rata-rata terpengaruh dengan gaya hidup barat kerana mereka sudah terbiasa dengan suasana kebaratan apabila hidup berintegrasi bersama orang putih Australia. Generasi tua dan ibubapa meluahkan rasa kebimbangan mereka tentang masa depan anak-anak muda mereka yang juga sudah tidak fasih berbahasa Melayu dan mengharapkan kehadiran kami mampu membawa sesuatu perubahan positif. Justeru kami pantas mendekati anak-anak muda di sini dengan menganjurkan perkhemahan dan perkelahan di tepi pantai. Dengan cara ini kami dapat menyelami gaya hidup dan perasaan mereka sedikit demi sedikit menarik mereka untuk hidup dengan rasa berTuhan. Kami sedar bahawa, untuk melakukan perubahan memerlukan masa yang panjang dan bertahap. Perubahan yang mapan tidak berlaku sekelip mata. Justeru kami menugaskan tiga ahli kumpulan untuk terus tinggal selama sebulan lagi bagi melaksanakan agenda perubahan bersama generasi muda di sini.

Misi pertama GPTD ini membuahkan hasil apabila berjaya membina hubungan ukhuwwah antara kami dengan penduduk Pulau yang berlangsung hingga ke hari ini. Beberapa misi susulan telah diaturkan sehingga membawa kepada penempatan seorang sukarelawan GPTD selama lebih 8 bulan untuk berkhidmat kepada penduduk Pulau seperti menjadi Imam, cikgu Bahasa Melayu dan pembimbing remaja.

Apa yang terpahat dimemori saya ialah keunikan Pulau Krismas yang dihiasi dengan keramahan penduduknya, kejinakan ketam merahnya, kepelikan udang gostannya dan keindahan panorama dan pantainya. Namun yang pasti misi rahmatallila’lamin GPTD akan terus bertapak di bumi bertuah ini.

Sumber : Majalah I Luv Islam 3-9 Disember 2010 / 26 Zulhijjah 1431 H – 2 Muharram 1432 H

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo