
17 Mac 2026 bersamaan 27 Ramadan 1447H; Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan rejim Israel yang menutup Masjid Al-Aqsa serta menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadah, khususnya dalam hari-hari terakhir Ramadan dan ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Aidilfitri.
Tindakan ini bukan sekadar isu keagamaan, tetapi merupakan pencabulan nyata terhadap kebebasan beragama serta pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan sejagat. Dalam tempoh yang begitu signifikan dari sudut spiritual, penutupan Masjid Al-Aqsa memperlihatkan sikap penindasan yang tidak berperikemanusiaan serta mencerminkan budaya impuniti yang semakin membimbangkan.
Masjid Al-Aqsa adalah tapak suci umat Islam dan simbol maruah ummah. Menyekat akses ke atasnya bukan sekadar sekatan fizikal, tetapi satu bentuk penafian hak yang sistematik terhadap kebebasan, identiti dan maruah rakyat Palestin.

Dalam konteks ini, ABIM menyambut baik dan menyokong gesaan YAB Perdana Menteri Malaysia yang menuntut agar pintu Masjid Al-Aqsa dibuka segera serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan berkesan.
ABIM berpandangan bahawa pendirian tersebut selari dengan prinsip keadilan sejagat dan tuntutan undang-undang antarabangsa yang menjamin kebebasan beragama. Namun, isu ini tidak boleh terus dilayan dengan kenyataan semata-mata.
Kegagalan berterusan komuniti antarabangsa untuk bertindak bukan lagi boleh ditafsir sebagai sikap berkecuali, tetapi mencerminkan pembiaran terhadap pencabulan yang sedang berlaku. Keadaan ini hanya akan mengukuhkan lagi budaya kebal daripada tindakan undang-undang yang dinikmati oleh rejim Israel serta mencemarkan kredibiliti sistem antarabangsa itu sendiri. Sehubungan itu, ABIM menyeru:
