
24 Mac 2026 I 04 Syawal 1447H: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius peningkatan penggunaan mercun sepanjang musim perayaan yang disertai insiden kecederaan, kebakaran dan gangguan ketenteraman awam. Fenomena ini tidak lagi boleh dilihat sebagai isu bermusim, sebaliknya telah menjadi kebimbangan keselamatan awam yang berulang setiap tahun.
Isu mercun hari ini bukan lagi soal tradisi, tetapi soal keselamatan awam dan kegagalan kita mengekang budaya berisiko. Kegembiraan tidak boleh dibayar dengan nyawa dan keselamatan masyarakat.
ABIM turut membangkitkan kebimbangan terhadap budaya menunjuk-nunjuk melalui penggunaan mercun bernilai ribuan ringgit, yang bukan sahaja mencerminkan pembaziran, malah menunjukkan pergeseran nilai dalam masyarakat. Lebih membimbangkan, fenomena ini berlaku sejurus selepas Ramadan yang sepatutnya mendidik umat tentang kesederhanaan dan tanggungjawab sosial.

Dalam masa yang sama, kebenaran penjualan mercun secara berlesen tidak boleh dianggap sebagai jaminan keselamatan. Realiti semasa menunjukkan masih wujud jurang antara dasar dan pelaksanaan, termasuk penjualan mercun berbahaya secara tidak terkawal dan akses mudah kepada kanak-kanak.
ABIM berpandangan bahawa kerangka perundangan sedia ada yang bersifat lama perlu dinilai semula agar lebih responsif kepada cabaran semasa, termasuk penjualan dalam talian dan kelemahan pemantauan rantaian bekalan. Penguatkuasaan yang tidak menyeluruh hanya membuka ruang kepada penyalahgunaan dan meningkatkan risiko keselamatan awam.
Pada masa yang sama, peranan ibu bapa dan penjaga tidak boleh dipinggirkan. Kurangnya pemantauan terhadap anak-anak ketika bermain dengan mercun meningkatkan risiko kecederaan serius yang boleh dielakkan.
Sehubungan itu, ABIM menggesa pendekatan yang lebih tegas dan bersepadu melalui pengkelasan semula mercun mengikut tahap risiko, kawalan pembelian yang lebih ketat, penetapan zon penggunaan yang sesuai serta penguatkuasaan yang lebih proaktif sebelum musim perayaan.
Pendekatan bermusim yang bersifat reaktif tidak lagi memadai. Sudah tiba masanya anjakan kepada dasar pencegahan yang lebih berkesan dan berteraskan keselamatan awam dilaksanakan.
ABIM turut menggalakkan alternatif sambutan yang lebih selamat dan membina serta menyeru masyarakat untuk kembali menghayati nilai adab, tanggungjawab dan ihsan dalam meraikan perayaan.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
AHMAD FAWWAZ BIN AHMAD SHUKRI
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
