
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
23 April 2026 | 05 Zulkaedah 1447H
SELAT MELAKA: ELAK POLEMIK BAHARU, PERTAHANKAN KESTABILAN DAN TADBIR URUS GLOBAL
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil maklum perbincangan yang timbul berhubung cadangan mengenakan levi (caj) ke atas kapal yang melalui Selat Melaka, termasuk kenyataan pihak berkuasa Indonesia yang mengakui bahawa langkah sedemikian bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan serta perlu mengambil kira pelbagai kekangan undang-undang, geopolitik dan praktikal.
Selat Melaka merupakan salah satu laluan maritim paling penting di dunia, mengendalikan sekitar suku daripada perdagangan maritim global serta dilalui puluhan ribu kapal setiap tahun. Kedudukan ini menjadikannya amat kritikal kepada kestabilan ekonomi antarabangsa.

Dalam konteks semasa, dunia sedang berdepan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Selat Hormuz, yang telah pun memberi kesan kepada kestabilan bekalan tenaga dan rantaian perdagangan antarabangsa. Sehubungan itu, sebarang langkah yang berpotensi menimbulkan persepsi ketidaktentuan terhadap satu lagi laluan strategik utama seperti Selat Melaka perlu ditangani dengan penuh keprihatinan dan kebijaksanaan.
Dalam hal ini, ABIM menyambut baik pendekatan berhati-hati yang ditunjukkan dan berpandangan bahawa sebarang pertimbangan berkaitan laluan strategik seperti Selat Melaka mesti dinilai secara menyeluruh, dengan mengambil kira implikasi global yang luas.
ABIM berpandangan bahawa:
Pertama, keutamaan ketika ini ialah memastikan semua laluan perdagangan utama dunia kekal stabil, terbuka dan bebas daripada sebarang ketegangan yang tidak perlu. Dalam konteks laluan sebesar Selat Melaka, sebarang gangguan kecil berpotensi membawa implikasi besar kepada ekonomi global, termasuk peningkatan kos logistik, tekanan inflasi dan ketidaktentuan pasaran.
Kedua, Selat Melaka bukan sekadar laluan serantau, tetapi merupakan kepentingan bersama masyarakat antarabangsa. Oleh itu, sebarang cadangan berkaitan tadbir urus atau pembiayaan perlu dilaksanakan secara konsultatif dan berasaskan konsensus, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk United Nations Convention on the Law of the Sea.
Ketiga, ABIM menegaskan bahawa sebarang pendekatan pembiayaan tidak wajar bersifat unilateral atau membebankan secara langsung, khususnya kepada negara pengguna dan rakyat. Sebaliknya, pendekatan yang lebih adil ialah melalui kerangka perkongsian tanggungjawab antarabangsa yang telus, berakauntabiliti dan tidak memindahkan beban kos secara tidak seimbang, khususnya kepada negara membangun.
Keempat, ABIM menggesa agar isu ini dibincangkan secara konstruktif antara negara pesisir yang terlibat, serta diperkukuh melalui platform serantau seperti ASEAN bagi memastikan pendekatan yang lebih inklusif, seimbang dan berteraskan kestabilan serantau.
Kelima, ABIM berpandangan bahawa kerajaan Malaysia perlu memainkan peranan proaktif dengan menegaskan pendirian yang jelas dalam mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran, menolak sebarang langkah unilateral yang berpotensi menjejaskan kestabilan laluan strategik ini, serta menggerakkan diplomasi serantau dan antarabangsa secara konstruktif bagi memastikan sebarang keputusan dicapai melalui rundingan dan konsensus bersama.
Keenam, ABIM menekankan bahawa Selat Melaka wajar dipelihara sebagai model tadbir urus laluan maritim global yang berteraskan kepercayaan, kerjasama dan keseimbangan antara kedaulatan negara pesisir dengan kepentingan masyarakat antarabangsa. Dalam masa yang sama, pendekatan ini perlu memastikan laluan strategik ini kekal aman, stabil dan bebas daripada sebarang perkembangan yang berpotensi mencetuskan ketegangan atau konflik, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
ABIM menegaskan bahawa dalam suasana geopolitik yang tidak menentu, kebijaksanaan dasar bukan sahaja terletak pada niat dan pelaksanaan, tetapi juga pada keupayaan membaca konteks masa, implikasi strategik dan persepsi global.
Dalam keadaan dunia sedang berdepan ketidaktentuan di Selat Hormuz, membuka polemik baharu di Selat Melaka hanya akan menambah ketegangan yang tidak perlu serta menjejaskan keyakinan global terhadap kestabilan laluan perdagangan utama dunia.
Sehubungan itu, ABIM menyeru semua pihak untuk mengutamakan pendekatan berasaskan dialog, keadilan, kepercayaan dan tanggungjawab bersama demi memastikan laluan strategik dunia terus terpelihara sebagai ruang keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
