
oleh: Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Pemergian almarhum Ustaz Dr. Abdul Halim El-Muhammady merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia akademik, ekonomi dan perundangan Islam di Malaysia, bahkan kepada gerakan dakwah dan pembangunan ummah secara keseluruhannya. Beliau adalah sosok ilmuwan umat yang menggabungkan ketajaman fikrah, keteguhan prinsip, serta kesederhanaan akhlak dalam satu peribadi yang sangat dihormati.
Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1977, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendidik generasi demi generasi dalam bidang syariah dan undang-undang. Peranannya sebagai pendidik tidak sekadar memindahkan ilmu, tetapi membentuk jiwa dan kefahaman yang seimbang antara teks dan konteks, antara tradisi dan tuntutan zaman. Beliau merupakan individu yang diberi tanggungjawab untuk menubuhkan Jabatan Quran Sunnah UKM pada tahun 1980.
Tradisi ilmu yang beliau kutip sepanjang pengajian di Mesir dan United Kingdom telah membentuk keluasan pandangan serta kedalaman fikrah beliau, lalu diterjemahkan dalam pendekatan pendidikan yang bersifat integratif, kritis dan berakar pada turath serta realiti semasa.
Komitmen beliau terhadap pendidikan tidak terhenti di menara gading. Almarhum turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh pendidikan Islam di peringkat akar umbi, khususnya melalui pembangunan pendidikan tahfiz dan pengajian Al-Quran dalam kerangka yang lebih tersusun dan bersepadu. Antara manifestasi penting usaha ini ialah melalui pengembangan Sekolah Rendah Islam Ummah (SRI Ummah), yang dahulunya dikenali sebagai Kelas Tahfiz ABIM atau Ummah.
Bermula sebagai sebuah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Bandar Baru Bangi, institusi ini telah berkembang dan memberi manfaat sehingga kini kepada lebih 2,000 pelajar dalam satu sesi. Almarhum dikenali sebagai seorang pendiri Pusat Tahfiz ABIM yang berjaya. Bermula dari pendidikan TASKI, Kelas Fardhu Ain (KAFA) peringkat rendah dan menengah dan akhirnya mdnyumbang buah fikiran dengan penubuhan Kolej Dar al-Hikmah dalam konteks pengajian tinggi.
SRI Ummah mencerminkan gagasan pendidikan Al-Hikmah yang diperjuangkan oleh almarhum, iaitu pendekatan yang menyeimbangkan hafazan dan penghayatan al-Quran, serta pengukuhan asas agama melalui kaedah 5M yang menyeluruh. Di sinilah terlihat keupayaan beliau sebagai arkitek tarbiyyah, yang bukan sahaja menggagaskan idea, tetapi membina institusi yang melahirkan generasi beradab, berilmu dan berakar pada nilai wahyu dalam mendepani cabaran semasa.
Dalam masa yang sama, almarhum turut memainkan peranan penting dalam pembangunan kewangan Islam negara. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Syariah pertama Bank Muamalat Malaysia Berhad, serta menganggotai Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Sumbangan beliau dalam merintis dan memperkukuh kerangka syariah dalam sistem kewangan moden telah membantu meletakkan asas yang kukuh kepada industri kewangan Islam di Malaysia yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tidak terhenti di situ, almarhum juga berperanan sebagai Pengerusi Koperasi Belia Islam (KBI) Malaysia selepas Almarhum Datuk Dr Ali Baharom, serta terlibat secara signifikan dalam gerakan koperasi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah ANGKASA. Peranan ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan ulama dalam institusi ekonomi umat, serta komitmen beliau untuk memastikan prinsip syariah diterjemahkan secara berkesan dalam realiti sosioekonomi masyarakat.
Pada fasa akhir kehidupan, almarhum terus istiqamah menyumbang kepada gerakan dakwah dan tarbiah. Beliau menggalas amanah sebagai Naib Presiden WADAH dan terakhir sebagai Pengerusi Majlis Istisyari WADAH yang ketiga sejak tahun 2025, meneruskan legasi kepimpinan selepas Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dan sebelumnya Allahyarham Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.
Dalam masa yang sama, beliau turut berperanan sebagai Pengerusi Pertubuhan Majlis Murabbi Madani, mencerminkan kedudukan beliau sebagai rujukan utama dalam pembinaan fikrah dan pembimbing ruhani gerakan.
Sumbangan beliau dalam ruang ini memperlihatkan keprihatinan berterusan terhadap arah tuju negara, termasuk sokongan berprinsip terhadap agenda reformasi dan pembinaan negara Madani yang digagaskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, selari dengan aspirasi membina masyarakat yang lebih adil, berintegriti dan berteraskan nilai.
Sepanjang penglibatan almarhum dalam dunia akademik, sumbangannya melangkaui peranan sebagai pendidik semata-mata, bahkan sebagai penggerak wacana keilmuan yang berakar pada tradisi dan responsif terhadap realiti semasa.
Beliau bukan sahaja terlibat dalam penyusunan silibus Pengajian Islam di Universiti Brunei serta pembangunan istilah fiqh dan usul fiqh di Dewan Bahasa dan Pustaka, malah turut menyumbang dalam penghasilan Kamus Arab-Melayu dan projek buku teks KBSM sebagai pakar rujuk dalam bidang tafsir.
Keterlibatan beliau dalam seminar dalam dan luar negara serta penulisan artikel ilmiah memperkukuh lagi kedudukannya sebagai sarjana yang aktif dan berpengaruh. Karya-karya yang dihasilkan sepanjang kerjaya akademiknya mencerminkan keluasan ilmu dan keprihatinan terhadap isu-isu semasa, merangkumi bidang syariah, undang-undang Islam, pendidikan, dakwah, serta pemikiran umat. Karya-karya ini bukan sahaja memperkukuh wacana keilmuan Islam di Malaysia, tetapi juga menjadi rujukan penting dalam memahami hubungan antara syariah dan realiti kontemporari.
Lebih istimewa, almarhum meninggalkan khazanah ilmu yang luas melalui karya-karya penulisan yang merentas disiplin fiqh, perundangan Islam, pemikiran dan tasawwur.
Antara karya penting beliau termasuk Undang-Undang Muamalat dan Aplikasinya kepada Produk-Produk Perbankan Islam, Hudud: Melindungi Hak dan Menjamin Keselamatan, Syariah: Perkembangan dan Tuntutan Pelaksanaan, Undang-Undang Jenayah Islam dan Enakmen Negeri-negeri, Mazhab Syafi‘i dan ASWAJA, Sumber Undang-Undang Islam dan Pandangan Orientalis, Tasawwur Islam, Islam dan al-Hadith: Dialog Bersama Kassim Ahmad, serta Adab Berijtihad dan Berikhtilaf Mengikut Syariat.
Karya-karya ini bukan sahaja memperkukuh wacana keilmuan Islam di Malaysia, tetapi juga menjadi rujukan penting dalam memahami hubungan antara syariah dan realiti kontemporari.
Namun, dua karya terakhir beliau, iaitu Pengalaman Mengajarku Erti Kehidupan serta Saya dan ABIM: Penghayatan Selaku Seorang Pemimpin, membawa dimensi yang lebih peribadi dan reflektif. Kedua-duanya bukan sekadar catatan pengalaman, tetapi merupakan manifestasi nota akhir seorang murabbi yang merumuskan perjalanan hidup, pergulatan pemikiran serta penghayatan beliau dalam medan dakwah dan gerakan.
Di dalamnya terkandung hikmah yang teruji oleh zaman, panduan yang lahir daripada pengalaman, serta pesan halus kepada generasi penerus agar memahami perjuangan bukan sekadar sebagai wacana, tetapi sebagai amanah yang perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan.
Karya-karya ini, dalam erti kata yang lebih mendalam, menjadi jambatan antara generasi, menghubungkan pengalaman seorang murabbi dengan harapan masa depan ummah. Ia bukan sahaja merakam kisah hidup almarhum, tetapi juga menyediakan kerangka pemikiran dan pedoman yang boleh terus dirujuk oleh generasi akan datang dalam meneruskan kesinambungan perjuangan.
Komitmen dakwah almarhum tidak terhad dalam ruang akademik atau institusi semata-mata. Beliau turut aktif menggerakkan usaha dakwah melalui Islamic Outreach ABIM (IOA) sejak tahun 1987, khususnya dalam kerangka memberi kefahaman Islam kepada masyarakat bukan Muslim dengan pendekatan hikmah, dialog dan sentuhan kemanusiaan.
Dalam suasana kosmopolitan Kuala Lumpur yang semakin mencabar, almarhum menekankan bahawa syiar Islam perlu terus hidup dan dirasai di tengah kesibukan kota. Prinsip yang sering dizahirkan ialah agar azan dan mesej dakwah terus berkumandang, dan dakwah terus sampai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Malah, antara usaha terakhir beliau yang cukup menyentuh ialah keterlibatan secara langsung dalam pembukaan Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB), satu lagi mercu dakwah jamaah yang bukan sekadar berfungsi sebagai pusat dakwah, tetapi juga sebagai manifestasi pemikiran strategik almarhum dalam memastikan pemilikan dan penguasaan aset oleh umat Islam, khususnya di lokasi-lokasi strategik negara.
Dalam konteks ini, premis di No. 1 Jalan Bukit Bintang bukan sekadar sebuah ruang fizikal, tetapi diangkat sebagai pusat gerakan dakwah yang hidup, simbol kehadiran Islam yang berwibawa di tengah-tengah lanskap urban, serta titik pertemuan antara dakwah, masyarakat dan realiti kontemporari.
Kehadiran beliau, walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak lagi sekuat dahulu, tetap memancarkan iltizam yang luar biasa terhadap misi dakwah dan pembinaan masyarakat. Setiap langkah dan kehadiran beliau seolah-olah menjadi pesan hidup bahawa perjuangan ini tidak pernah mengenal noktah selagi hayat masih dikandung badan.
Namun di sebalik kesungguhan tersebut, almarhum tidak pernah mengabaikan amanah yang lebih dekat dan mendasar, iaitu keluarga. Dengan hikmah dan kebijaksanaan, beliau membina sebuah ekosistem “extended family” yang bukan sahaja erat dari sudut hubungan, tetapi juga kaya dengan kepelbagaian kepakaran dan peranan. Keluarga bagi almarhum bukan sekadar tempat berteduh, tetapi menjadi medan tarbiah, ruang pengkaderan, dan sumber kekuatan yang sentiasa mengalir dalam perjuangannya.
Dalam kebersamaan itu, terjalin sebuah sistem sokongan yang kukuh, saling menguatkan, dan saling melengkapi, sehingga menjadikan keluarga sebagai rakan seperjuangan yang hidup dan berfungsi. Di situlah kita melihat wajah sebenar seorang murabbi, yang bukan sahaja membina masyarakat di luar, tetapi terlebih dahulu membina kekuatan dari dalam rumah tangganya sendiri.
Sesungguhnya, legasi almarhum bukan hanya terakam pada karya dan institusi yang ditinggalkan, tetapi juga pada keluarga yang terus menjadi penyambung denyut perjuangan, membawa obor dakwah dengan semangat yang diwariskan penuh hikmah dan kasih.
Lebih daripada segala jawatan dan kedudukan, almarhum adalah seorang murabbi yang membentuk jiwa gerakan. Mengenang beliau juga sebagai mantan pimpinan dan penggerak awal ABIM khususnya sebagai Yang Dipertua ABIM Daerah Hulu Langat sejak 1980 sehingga diberi taklifan sebagai Timbalan Presiden ABIM. Peranan tersebut bukan sekadar jawatan organisasi, tetapi medan tarbiah dan kepimpinan yang membentuk generasi serta mengukuhkan halatuju perjuangan. Dalam kunjungan terakhir beliau ke Sekretariat ABIM Pusat, almarhum sempat menitipkan pesan yang sangat bermakna kepada pimpinan dan generasi penerus; “…Pergerakan ABIM membina ahli dari sudut ilmu, amal dari sudut ilmu kerohania dan kemasyarakatan. Usrah asas pembinaan ilmu, ukhuwah, kerohanian dan perancangan program masyarakat pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat kurang bernasib baik dan islah pemikiran politik, penggerak masyarakat. Harap perjuangan ini dapat diteruskan sebagaimana contoh yang ditunjuk oleh Anwar PM10…”
Pesan ini bukan sekadar nasihat, tetapi merupakan wasiat perjuangan yang perlu terus dihayati oleh setiap generasi. Ia mengingatkan kita bahawa kelangsungan gerakan tidak bergantung pada semangat sesaat, tetapi pada disiplin tarbiah yang berterusan dan kesetiaan kepada prinsip.
Saat akhir perjalanan hidupnya menjadi saksi yang hidup kepada legasi yang ditinggalkan. Kehadiran para sahabat, anak murid dan mereka yang mengenali memenuhi ruang masjid pada malam tersebut, seolah-olah suasana solat Jumaat yang sarat dengan kebersamaan dan penghormatan. Jenazah almarhum telah disolatkan di Masjid Teras Jernang, masjid yang beliau sendiri menjadi pengasas serta pernah berkhidmat sebagai imamnya.
Penduduk setempat amat arif, khususnya di Bangi, akan sumbangan besar beliau di kawasan tersebut, bukan sahaja dalam aspek dakwah, tetapi juga dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan masyarakat. Kehadiran beliau telah membentuk sebuah ekosistem komuniti yang lebih berdaya, berakar pada nilai Islam dan kesedaran sosial, termasuk inisiatif pembangunan belia melalui penubuhan Adab Youth Garage (AYG) sebagai wadah membina potensi anak muda secara holistik. Keseluruhan usaha ini menjadi satu warisan yang akan terus hidup dalam ingatan dan kehidupan generasi setempat.
Sesungguhnya, pemergian beliau bukan sekadar menutup satu lembaran, tetapi membuka amanah besar kepada generasi yang masih meneruskan perjalanan. Warisan yang ditinggalkan bukan untuk dikenang semata-mata, tetapi untuk dipikul dan diterjemahkan dalam bentuk amal yang berterusan. Generasi kini dan akan datang dituntut untuk memelihara kesinambungan manhaj ini, memperkukuh tradisi ilmu dan tarbiah, serta berani menggalas tanggungjawab dakwah dalam realiti zaman yang semakin mencabar. Inilah erti sebenar menghargai legasi seorang murabbi, bukan sekadar mengenang, tetapi menyambung perjuangan.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa almarhum, melimpahkan rahmat dan menempatkan beliau dalam kalangan para solihin.
Al-Fatihah.
