
17 April 2026 – Harga diri seorang Muslim tidak terletak pada pangkat atau harta, tetapi terpancar melalui karamah insaniah yang dijaga dengan adab yang sempurna. Sifat malu juga merupakan benteng dalam memelihara maruah diri agar tidak terjebak ke dalam perkara yang merendahkan martabat insan. Ini antara perkongsian yang disampaikan oleh Dr. Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden ABIM (HELWA) dalam sesi Usrah Gabungan staf SRI Seremban.

Melalui tajuk “Membangun Harga Diri Muslim”, beliau menegaskan bahawa pendidikan karakter melalui penerapan adab mestilah berakar umbi dari rumah sebelum ia disuburkan lagi di sekolah melalui peranan aktif guru-guru.

Dr. Fatin menekankan bahawa harga diri seorang Muslim yang sebenar dicapai melalui karamah insaniah, di mana sifat malu menjadi benteng utama agar seseorang itu tidak terjatuh ke lembah yang tidak bermaruah.

Pendidikan karakter ini mestilah berpaksikan kepada penerapan adab dan akhlak yang syumul dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup yang paling teguh. Beliau mengingatkan agar sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswah hasanah dalam setiap aspek kehidupan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah tinggi sahsiahnya.
Terima kasih kepada pihak sekolah SRI Seremban atas jemputan. Moga perkongsian ini bermanfaat.
