
Oleh: Zairudin Hashim
Latar Sejarah
ABIM telah ditubuhkan pada 6hb Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada 6hb Ogos 2021, ABIM menyambut ulang tahun yang ke-50 (Jubli Emas – Separuh Abad).
Pengerusi penaja penubuhannya ialah Sdra. Wahab Sulaiman, Setiausahanya ialah Sdra. Fauzi Abdul Rahman (Dato’), dan Sdra. Ahmad Ismail tampil selaku Penolong Setiausaha Penaja ketika itu. Mereka menemui Pendaftar Pertubuhan bagi pendaftaran ABIM.
Pada 17hb Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966. ABIM melangsungkan Persidangan Agung Tahunan atau Muktamar Sanawi yang pertama pada tahun 1972.
ABIM ditubuhkan oleh anak muda lulusan Eropah, Timur Tengah dan universiti tempatan. Namun, para penggerak dan aktivisnya terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Daripada kaum petani dan pekebun kecil sehinggalah graduan PhD, kesemua bersama-sama menggembleng kekuatan, kepakaran serta pengalaman masing-masing untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala menerusi dakwah.
Dr. Ustaz Razali Nawawi, presiden pertama ABIM merupakan pengasas Malaysian Islamic Study Group (MISG) di London bersama beberapa orang sahabatnya seperti Ustaz Dahlan Arshad (Allahyarhamhu). Beliau juga terlibat aktif dengan London Islamic Circle serta Federation of Islamic Student Islamic Society in Great Britain and Ireland (FOSIS).

Ustaz Dahlan Arshad merupakan sahabat karib Syeikh Dr. Yusuf Qaradhawi dan Sai’d Ramadan (menantu Imam Hassan al-Banna) sejak 1970an.
Ustaz Razali dan Ustaz Dahlan merupakan antara generasi awal yang mendirikan solat Jumaat di Malaysia Centre. Khutbah itu disampaikan dengan merujuk tulisan-tulisan antaranya oleh Syed Qutb (dalam Bahasa Arab), seperti Tafsir Fi Zilalil Quran.
Langkah Awal Bersama ABIM
Dalam masa yang sama ustaz Razali Nawawi juga terlibat aktif dengan para aktivis belia Islam dari Timur Tengah khususnya dari Universiti Al-Azhar. Aktivis-aktivis ini kemudiannya sama-sama menubuhkan dan menggerakkan ABIM.

Antara mereka ialah Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Ni’amat Yusoff, Ustaz Wan Salim Mohd Nor, Ustaz Abd Manan Abdul Majid, Ustaz Abdul Halim el-Muhammady dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mengukuhkan kedudukan ABIM sebagai gerakan Islam utama di Malaysia ketika itu (Mohd Azhar Bahari & Ishak Saat, 2014).

Sistem usrah pertama di Malaysia, diasaskan oleh Ustaz Razali Nawawi. Usrah pertama ABIM berlangsung di No. 12, Jalan Aman, Kawasan Melayu, Old Town (Jalan Othman, Petaling Jaya). Antara bahan yang dibincangkan merangkumi bacaan al-Quran, tafsir, hadis, sirah Rasulullah dan isu-isu semasa.

Ustaz Razali Nawawi juga turut memperkenalkan Tamrin al-Kader dan menyusun sukatan dan kurikulumnya untuk semua peringkat. Ini jelas menunjukkan bahawa ia menjana kekuatan ahli-ahli ABIM dalam berdakwah, kerana menerusinya para pimpinan merangka strategi dan manhaj gerakan.
Ia merupakan sebab yang menunjangi kemunculan ABIM. Kehadiran gerakan ini juga tepat pada waktunya dengan kebangkitan Islam di seluruh dunia.
Era tahun 1970-an merupakan kemuncak sahwatul al-Islamiyyah. ABIM mempunyai keorganisasian yang tersusun, lengkap dan mantap sehingga masyarakat turut merasai kehadirannya dalam kancah kehidupan mereka.

Ustaz Fadzil Noor bersama sahabat karibnya, Anwar Ibrahim, Siddiq Fadzil serta para pimpinan ABIM telah menggagaskan pendekatan kesederhanaan, berteraskan elemen kemelayuan yang merupakan latar utama sosio-budaya setempat.
Antara gagasan yang diketengahkan ialah Islam as a way of life, Manhaj al-Malizi, al-Wasati dan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk diungkap. Gagasan ini telah merubah lanskap penghayatan Islam yang kesannya tidak dapat disanggah sehingga hari ini.
Kekuatan gagasan-gagasan tersebut terkandung dalam pengertian pada makna din al-Islam yang lebih luas serta mempunyai daya dan kekuatan, dinamik dan lebih segar sifatnya.
Dalam erti kata lain ABIM telah memberikan generasi muda lebih daripada sekadar medan untuk berdakwah dan membuat amal kebajikan. ABIM telah membuka satu dimensi baru yang mengangkat erti kehidupan iaitu dimensi perjuangan bagi mendaulatkan Islam dan memperkasa umat.
Ustaz Fadzil Noor dan para sahabat karibnya di dalam ABIM memanfaatkan bacaan buku-buku yang pelbagai seperti buku tentang kemiskinan, keadilan sosial, pendidikan selain daripada bahan bacaan dalam bidang agama.
Pembacaan yang pelbagai menjadikan ahli-ahlinya berfikiran terbuka. Ini membuatkan mereka mampu menghadapi golongan ekstremis, atheis dan modenis pada waktu itu dengan bersandarkan pada hujah-hujah aqliah yang bernas.
Bakat Kepimpinan & Kehidupan Awal
Ustaz Fadzil dilahirkan di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Bapanya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik.
Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah.
Sememangnya diakui bahawa Ustaz Fadzil memiliki bakat kepimpinan yang tinggi. Bakat kepimpinannya mula terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya ketika menuntut di Maktab Mahmud.
Di sini beliau mengasah bakat yang dimilikinya iaitu kebolehan berpidato semasa mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau ialah kemampuan untuk berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq.
Pada tahun 1963, Ustaz Fadzil Noor menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar di Mesir dalam pengajian undang-undang Syariah.
Sewaktu di Al-Azhar beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Semasa di PMRAM Ustaz Fadzil Noor juga turut serta dalam rombongan jawatankuasa yang menghantar memorandum ke Kedutaan Malaysia di Mesir menyokong kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara pada 1967.
Memangku Jawatan Presiden ABIM
Ustaz Fadzil pernah memangku jawatan selaku presiden ABIM semasa Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974. Penahanan dibuat genap empat bulan Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan ABIM daripada Ustaz Dr. Razali Nawawi.
Hal ini merupakan satu tindak balas pihak pemerintah terhadap demonstrasi Disember 1974 di mana seramai 30,000 orang rakyat menyertai perhimpunan bersejarah itu, untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menangani masalah kemiskinan, kenaikan harga barang serta kejatuhan harga getah yang dihadapi penduduk di kampung.

Teks ucapan dasar pertama Anwar Ibrahim pada tahun 1975 selaku presiden ABIM yang ditulisnya semasa dalam tahanan; telah dibacakan oleh Ustaz Fadzil Noor yang memangku jawatan Presiden ABIM dari 3hb DIsember 1974 hingga Oktober 1976.
Beliau bersama Ustaz Siddiq Fadzil, Ustaz Ghani Shamsuddin, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Ahmad Awang dan Almarhum Syeikh Niamat Yusuf (Yang Dipertua ABIM Kedah yang pertama), telah bergerak mengisi usrah, tamrin dan seminar perkaderan ABIM di seluruh negara.
Sekembalinya ke Malaysia, Ustaz Fadzil mengajar di Maktab Mahmud. Kemudiannya beliau menjadi pensyarah pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (1973 hingga 1978).
Bagaimanapun dia telah dipecat kerana pembabitannya dalam kegiatan politik semasa mewakili PAS bertanding kerusi untuk DUN Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah semasa Pilihan Raya Umum 1978.
Bagaimanapun kemudiannya mahkamah membuat keputusan bahawa pemecatan Ustaz Fadzil Noor adalah tidak sah. Berikutan itu beliau diterima semula bertugas dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi.
Perjuangan Dalam Politik
Kerajaan campuran Barisan Nasional yang turut dianggotai PAS yang terbentuk mulai 1hb Januari 1973 telah berakhir pada Disember 1977. Ini berlaku setelah beberapa siri pergeseran dan perbalahan dengan UMNO yang menyebabkan tersingkirnya PAS daripada BN.
Setelah ditendang keluar oleh BN, PAS telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri Kelantan dan pilihan raya umum (PRU) pada tahun 1978. Setelah itu pemimpin siasah Islam Indonesia mengirim surat kepada Dato’ Asri supaya menerima tokoh-tokoh ABIM yang sangat popular ketika itu.
Pada tahun tersebut juga, mantan Perdana Menteri Indonesia, Bapak Muhammad Natsir (Pak Natsir) datang ke Malaysia. Beliau menilai masa itu ‘PAS lesu darah’ maka perlu disuntik darah baru dan segar. Atas keputusan Majlis Syura ABIM, beberapa orang pemimpin kanan ABIM menyertai PAS menjelang pilihan raya dan kemudiannya bertanding atas tiket parti tersebut.
Ini kerana majlis syura ABIM telah memutuskan bahawa ABIM bertanggungjawab untuk memperkuatkan PAS yang ditendang daripada Barisan Nasional. Maka Ustaz Fadzil Noor telah diputuskan secaranya rasmi oleh syura untuk menyertai PAS.
Beliau dan beberapa orang rakan pimpinan yang lain telah menerima dorongan ABIM untuk aktif di dalam PAS supaya dapat memperbetulkan sesetengah pandangan dan gerak kerja parti tersebut.
Ternyata peranan Ustaz Fadzil Noor serta tokoh-tokoh muda dengan imej Islamik serta pemikiran progresif daripada ABIM, nyata telah memberi nafas baru kepada PAS. Ustaz Fadzil Noor serta beberapa orang mantan pimpinan ABIM kemudian dipilih sebagai pimpinan parti tersebut.
Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian sebagai Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30hb Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.
Walaupun setelah menyertai PAS, ABIM masih menjaga hubungan baik dengan bekas pimpinan khususnya Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Ghani Shamsuddin. Dalam masa itu ABIM juga sentiasa menghargai PAS sebagai gerakan dan parti politik Islam dengan peranannya yang tersendiri.
Mengemudi Kesinambungan Gelombang Reformasi
Hubungan erat tetap terjalin di antara Ustaz Fadzil Noor, Anwar Ibrahim dan Ustaz Siddiq Fadzil, meskipun secara zahir ketiga-tiga mereka berada dalam wadah yang berbeza.
Ini dibuktikan dalam acara sambutan 25 tahun penubuhan ABIM pada 1996, gerakan Reformasi 1998, Syarahan Perdana Palestin 2002 dan beberapa ketika lain yang membuktikan dengan jelas agenda ABIM untuk membina masyarakat madani, yang mampu berfikiran rasional, meski berbeza ideologi politik.

Sebagai contoh pada tahun 1996, Ustaz Fadzil turut menghadiri sambutan 25 Tahun Jubli Perak ABIM di Kedah.
Beliau yang secara umumnya diketahui telah mula menjalin hubungan akrab dengan Anwar Ibrahim sejak sekian lama, tidak kekok bersalaman dan berbual mesra meskipun ketika itu berada dalam jalur parti politik yang berbeza.
Maka tidak hairanlah ketika era Reformasi, Ustaz Fadzil tetap teguh dengan keputusannya meskipun ditentang beberapa pihak, untuk sama-sama dengan ABIM memimpin gelombang kebangkitan rakyat.
Ustaz Fadzil Noor kemudiannya meneruskan agenda Reformasi setelah Anwar Ibrahim mendekam dalam tahanan polis. Gelombang ini telah diteruskan dengan penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (‘GERAK’) pada 27hb September 1998 di Taman Melewar yang dihadiri puluhan ribu orang. Gerak ini telah dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Dengan penubuhan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baharu.


Menjelang Pilihanraya Umum (PRU) 1999, Ustaz Fadzil Noor telah bertanding sebagai calon di kerusi parlimen Pendang. Sebelum itu beliau juga telah dipilih wakil rakyat untuk DUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut. Akan dalam masa yang sama beliau telah tewas dalam setiap percubaan yang dilakukan sehingga 1999 untuk kerusi parlimen.
Pada Piliharaya Umum 1999, akhirnya beliau telah berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang. Dalam masa yang juga Ustaz Fadzil Noor juga mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit yang merupakan nama baharu untuk Bukit Raya.
Setelah pilihanraya umum tersebut, beliau telah dipilih untuk berperanan sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Ustaz Fadzil Noor mengambil alih tempat yang dikosongkan Lim Kit Siang setelah tokoh tersebut tewas semasa pilihanraya tersebut.
Walaupun berbeda pendirian serta berperanan dalam sisi politik yang berbeda, atas nama kemanusiaan, pada 8hb Mei 2002, Ustaz Fadzil Noor berkongsi pentas bersama Tun Dr. Mahathir Mohamed (Perdana Menteri ketika itu) dalam Syarahan Perdana Palestin anjuran ABIM di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).

Pertemuan ini diusahakan oleh Presiden ABIM ketika itu, Ahmad Azam Ab Rahman (Dato’ Haji), serta Cikgu Abdul Halim Ismail (Allahyarhamhu – Timbalan Presiden) dan Dr. Shaharuddin Badaruddin (Allahyarhamhu-Naib Presiden ABIM).
Meskipun mendapat bantahan ramai, Ustaz Fadzil tetap berucap di pentas tersebut demi umat Islam Palestin, selain kerana ia dianjurkan oleh para sahabatnya daripada ABIM.
Almarhum terkenal sebagai pemidato tersohor serta terlibat aktif dan jarang gagal turut serta dalam sesi perbahasan di parlimen. Kewibawaannya sebagai ketua pembangkang amat dikagumi ramai.

Semasa kepimpinannya, Ustaz Fadzil juga menekankan keperluan menjaga keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia. Ini dizahirkan menerusi pelbagai usaha libat urus dan kerjasama dengan pemimpin daripada etnik serta pertubuhan berbeza semasa memimpin PAS.
Pastinya pendekatan ini tidak lari daripada dicermati berdasarkan latar belakang tarbiyyah beliau ketika bersama ABIM, yang menjunjung orientasi kesederhanaan dengan bersikap terbuka dan bersedia berdialog dengan sesiapa sahaja
Demi kepentingan perjuangan Islam dan kebajikan rakyat, Ustaz Fadzil Noor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau. Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati kawan dan disegani oleh lawan.
Perginya Kejora Sinar Zaman
“…Kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!”.
Kata-kata ini diucapkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Muktamar PAS ke-48. Ia merupakan muktamar yang terakhir sebelum beliau meninggal dunia.
Ustaz Fadzil meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada jam 10:30 pagi pada 23hb Jun 2002. Ketika pengebumiannya, kesesakan berlaku sejauh 20km menuju ke di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.
Dilaporkan lebih 200,000 orang berpusu-pusu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada murabbi umat ini.
Almarhum sepanjang hayatnya ialah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana.
Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.
Penulis ialah Naib Presiden ABIM.
