
25 Jun 2026 – Alhamdulillah, telah berlangsung Bicara Hijrah Madani: Bina Adab, Bina Negara dengan pengisian bermanfaat daripada Datuk Dr. Hasan Bahrom, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertempat di Surau at-Taqwa, Setapak.
“Bina Adab, Bina Negara” merupakan tema yang diangkat oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai agenda dakwah sepanjang tahun. Gagasan ini menekankan bahawa pembinaan sahsiah dan karakter manusia merupakan asas yang paling penting sebelum membina sebuah sistem pemerintahan atau negara. Antara inti pati penting yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Hasan Bahrom ialah:
1) Kepentingan Adab dan Akhlak: Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT bertujuan utama untuk membina akhlak dan memuliakan watak manusia. Adab merangkumi hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia, haiwan, dan alam seluruhnya. Menurut Imam Malik, seseorang itu perlu mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu pengetahuan kerana tanpa adab, ilmu yang tinggi boleh disalahgunakan untuk tujuan yang merosakkan.
2) Model Hijrah dan Pembinaan Negara: Peristiwa hijrah menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menyantuni masyarakat dan meletakkan setiap individu pada tempat yang sesuai mengikut keupayaan mereka. Sebagai contoh, pemilihan Abu Bakar yang tenang untuk menemani baginda, Saidina Ali yang berani untuk tidur di katil baginda, serta peranan Asma’ binti Abu Bakar menunjukkan bahawa semua peringkat umur dan jantina memainkan peranan dalam membina negara.

3) Penyatuan Ummah (Model Madinah): Di Madinah, Rasulullah SAW menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin melalui nilai kasih sayang dan persaudaraan. Baginda juga mewujudkan Piagam Madinah (Sahifah Madinah) yang mengiktiraf semua warganegara, termasuk orang bukan Islam, sebagai satu umat yang bersatu (ummatan wahidatan). Keadilan dan toleransi, seperti yang ditunjukkan dalam Perjanjian Hudaibiyah, adalah kunci kepada keamanan dan keharmonian negara.
4) Cabaran Zaman Moden dan Digital: Dalam menghadapi dunia digital dan media sosial, masyarakat diingatkan supaya sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun (menyelidik maklumat) bagi mengelakkan fitnah dan perbalahan. Adab dalam berbeza pandangan politik amat penting untuk mengelakkan budaya maki hamun yang boleh merosakkan perpaduan negara.
5) Rantaian Pembinaan Negara: Berdasarkan pemikiran Ibnu Khaldun, sebuah negara yang baik (baldatun tayyibatun) bermula daripada individu yang baik, yang kemudiannya membentuk keluarga yang baik, seterusnya melahirkan masyarakat yang baik, dan akhirnya membina negara yang sejahtera.
Program kerjasama antara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan YADIM ini diharap dapat mengaktifkan kegiatan dakwah dan kemasyarakatan di kawasan kariah. Kerana adab, asas pembinaan bangsa dan peradaban negara.
