
21 Jun 2026 – Bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, ABIM dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Program Rakan Bumi bertempat di Pantai Klebang, Melaka.
Program ini bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak lebih 70 orang peserta yang terdiri daripada golongan belia, individu, serta keluarga telah hadir bagi memeriahkan acara ini.

Antara pengisian utama program adalah perkongsian ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar oleh Presiden Grass Malaysia, Encik Mohd Yusaimi Md Yusof. Beliau menekankan hubungan spiritual dan emosi manusia dengan alam.

“Kalau hendak kenal Tuhan, rapatlah dengan alam. Terapi alam dan ‘grounding’ merupakan salah satu kaedah berkesan yang digunakan dalam menangani masalah kesihatan mental seperti kegelisahan, stres, serangan panik, dan ‘burn out” ujar beliau.
Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan antaranya aktiviti pembersihan pantai secara berkumpulan, sesi makan-makan santai di tepi pantai serta acara kuiz alam.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Ayuh kita sama-sama menjaga bumi, kerana kita jaga masa depan.

