





























































Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memperingati diplomat Melayu hebat dari bumi Nakhon Si Thammarat (Ligor) iaitu Almarhum Tan Sri Dr. Surin Abdul Halim Bin Ismail Pitsuwan, pada 30hb November 2017 lalu. ‘Pitsuwan’ adalah dari dua kata nama, iaitu ‘Pit’ bermakna tukang atau pemahat manakala ‘Suwan’ bermakna emas. Pitsuwan maknanya tukang emas.
Impak besar beliau dalam dunia diplomasi antarabangsa dapat dilihat ketika menjadi Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung ASEAN menerusi idea kerjasama pembangunan ASEAN secara saksama. Surin ialah Timbalan Menteri Luar Thailand dari 1992 hingga 1995 sebelum dilantik sebagai Menteri Luar Thailand dari 1997 hingga 2001 semasa di bawah kepimpinan Leekpai.
Pada 1hb Januari 2008, beliau dinamakan sebagai Setiausaha Agung ASEAN selama lima tahun, dengan melakar banyak pencapaian dalam bidang diplomatik. Beliau amat sinonim dengan gagasan reformis, keterbukaan dan dialog menuntut umat Islam untuk menolak pemikiran yang menindas untuk kita keluar membina masyarakat Islam yang berjaya.
Beliau memiliki kekuatan kombinasi latar jalur pendidikan Islam pondok di Thailand dan pendidikan moden hingga ke Harvard. Jangkaan ramai untuk beliau menjadi warga Melayu pertama menjadi Setiausaha Agung PBB, namun Allah Subhanahu wa-Ta’ala lebih menyayanginya.
Almarhum juga pernah menyampaikan ucaptama ketika Muktamar Sanawi ABIM Pusat pada tahun 2003.
Negarawan Thailand yang lahir pada 1949 itu meninggal dunia pada usia 68 tahun dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam bersebelahan Masjid Tha It, di Nonthaburi, Bangkok tidak jauh dari kediamannya.
Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Chakri Sirindhorn serta Puteri Soamsawali menghantar wakil mereka ke upacara pengebumian dan menyediakan ‘tanah diraja’ untuk upacara pengebumian.
Surin yang berasal dari Nakhon Si Thammarat meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Alisa Pitsuwan dan tiga orang cahaya mata lelaki, iaitu Hussani Pitsuwan, Frickli Pitsuwan dan Muhammad Fuake Pitsuwan.
Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.
InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.
