ABIM Gesa Pihak Industri Prihatin Terhadap Kos Kewangan Pelajar Latihan Industri (Intern)

June 24, 2023
Admin Abim

Kenyataan Media ABIM

24 Jun 2023 / 5 Zulhijjah 1444 H

ABIM GESA PIHAK INDUSTRI PRIHATIN TERHADAP KOS KEWANGAN PELAJAR LATIHAN INDUSTRI (INTERN)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada laporan mengenai seorang pelajar universiti awam yang meluahkan kebimbangannya untuk bertahan sepanjang menjalani latihan industri atau ‘internship’ pada Oktober ini.

ABIM menggesa agar Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia meneliti isu ini supaya ia mendapat pertimbangan sewajarnya.

ABIM menegaskan bahawa ‘intern’ tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma, malah telah dibangkitkan dalam Persidangan Buruh Antarabangsa pada Jun 2023 di Geneva supaya bayaran yang terlalu rendah tidak diberikan oleh majikan terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri.

Meskipun pemberian elaun adalah tidak wajib di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265), ABIM menekankan bahawa prinsip keadilan dalam ekonomi manusiawi menuntut majikan untuk mempertimbangkan bagi membayar jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kos minimum perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan, selain insentif peralatan seperti komputer riba.

ABIM juga menyarankan para pelajar untuk mendapatkan maklumat berkenaan tempat latihan ‘intern’ terlebih dahulu agar isu bayaran elaun dapat diatasi di peringkat awal serta tempat intern adalah bersesuaian dengan bidang pengajian.

ABIM juga menggesa pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) agar dapat membantu menjadi pemudah cara dengan pihak industri, seperti memastikan tempat praktikal adalah kondusif dan selamat untuk pelajar menimba dan menjana pengalaman berharga.

Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR