
KENYATAAN MEDIA
26 Mei 2020 / 3 Syawal 1441 H
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
ABIM GESA SEGERA PINDA UNDANG-UNDANG UNTUK HUKUMAN LEBIH BERAT KEPADA PEMANDU MABUK
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada jumlah kes kemalangan yang didakwa berpunca dari kesalahan pemandu di bawah pengaruh alkohol yang semakin meruncing baru-baru ini termasuk semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
ABIM memandang serius kes-kes kemalangan akibat daripada kesalahan di bawah pengaruh minuman memabukkan yang sudah pasti menggugat kesejahteraan pengguna jalan raya lain. Menerusi laporan berita semasa, seolah-olah kes-kes sebegini semakin meruncing dan memerlukan satu tindakan penyelesaian yang tuntas dari pihak berkuasa.
Justeru, bagi memelihara keselamatan seluruh pengguna jalan raya, ABIM menegaskan bahawa sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak untuk mengetatkan lagi hukuman ke atas pemandu yang dinyatakan.
Ini termasuk dengan meminda Seksyen 45 A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan meletakkan hukuman hilang kelayakan memandu seumur hidup mandatori sebagai pendidikan supaya tiada lagi yang memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol.
Selain itu, pihak kerajaan juga harus mempertimbangkan hukuman yang lebih berat seperti penjara mandatori bagi kesalahan ini termasuk menjalani sesi pemulihan jangka panjang untuk memastikan tiada lagi pemandu jalan raya yang berada di bawah pengaruh alkohol.
ABIM melihat langkah-langkah untuk menyelesaikan isu ini adalah suatu yang amat serius sebagai satu usaha bersepadu Kementerian Pengangkutan untuk memastikan keselamatan jalan raya terjamin.
Ini kerana langkah-langkah sebegini bukan satu perkara yang baharu di negara luar. Mengambil contoh dasar βzero toleranceβ buat pemandu mabuk yang dikuatkuasakan di wilayah New South Wales, Australia pada Mei 2019, menyatakan mana-mana pemandu yang didapati mabuk akan ditarik lesen memandu serta-merta.
Selain itu, sekiranya perbandingan dibuat antara peruntukan hukuman berkenaan kes sebegini menurut undang-undang jalan raya di Malaysia dan Undang-undang di Singapura (Singapore Road Traffic Act), kita dapat melihat beberapa peruntukan hukuman di dalam akta di negara jiran adalah lebih berat berbanding dengan Malaysia. Ini termasuk peruntukan dalam Seksyen 67 dan 67A Singapore Road Traffic Act.
ABIM menegaskan bahawa saranan ini telah berkali-kali dikeluarkan oleh ABIM termasuk yang bertarikh 24 Januari 2020 sebagai mewakili kebimbangan dan keresahan masyarakat dalam isu ini.
Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga akan bersama-sama Friendship Group of Inter Religious Services (FGIS) untuk meneruskan program kesedaran berkaitan ‘Drugs, Alcohol, Relationship, Time-management & Smoking’ (DARTS) di mana salah satu fokus utama adalah untuk membendung masalah alkohol dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
