ABIM Johor Kecam Penganjuran ‘Gang Bang JB Party’: Gesa Batalkan Serta Merta

May 31, 2023
Admin Abim

Kenyataan Media ABIM Johor

26 Mei 2023 bersamaan 6 Zulkaedah 1444

ABIM Johor Kecam penganjuran ‘Gang Bang JB Party’: Gesa Batalkan Serta Merta

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor membantah sekeras – kerasnya penganjuran “Gang Bang JB Party” yang bakal dianjurkan pada 20 Jun 2023. Tular di media sosial “twitter” kad jemputan atau poster program tersebut yang akan diadakan di sekitar Bandaraya Johor Bahru pada jam 4 petang hingga 9 malam.

Penganjuran Gang Bang JB Party jelas memberi imej buruk kepada Kerajaan Negeri Johor yang sentiasa memartabatkan agama Islam. Termaktub dalam Fasal 57, Undang- undang Tubuh Kerajaan Johor bahawa “Adalah yang dikatakan ‘Agama Negeri’ bagi jajahan dan Kerajaan Johor ini iaitu Agama Islam”.

Oleh yang demikian, demi memastikan rahmat Islam tersebar ke seluruh masyarakat, program ini mesti dibatalkan serta merta. Difahamkan program tersebut adalah terbuka kepada semua kaum dan tidak membenarkan sebarang rakaman video dan gambar. Maklumat yang telah ditularkan juga mengajak orang ramai yang mahu menyertainya supaya membawa kondom dan tuala sendiri.

ABIM Johor menyambut baik seruan pihak Kerajaan Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tuan Mohd Fared Mohd Khalid yang membantah sebarang penganjuran aktiviti tidak bermoral di Negeri Johor Darul Takzim. Pada Disember 2022, Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah berjaya menghalang penganjuran pesta buih yang diadakan secara tertutup di salah sebuah hotel mewah di Bandaraya Johor Bahru. 

Justeru, ABIM Johor menggesa pihak berkuasa tempatan supaya membatalkan serta merta penganjuran Gang Bang JB Party agar seluruh rakyat Bangsa Johor terhindar daripada aktiviti maksiat dan tidak bermoral. ABIM Johor juga merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak Polis Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor yang telah melakukan siasatan dan menghalang program tidak bermoral tersebut dilaksanakan.

Ustaz Farhan Ashari, Yang Dipertua ABIM Johor

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR