ABIM Kecam Penganjuran Pink Dot Penang 2014 - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM Kecam Penganjuran Pink Dot Penang 2014

ABIM merujuk kepada hebahan poster yang dimuatnaik di internet baru-baru ini yang mempromosi acara “Pink Dot Penang 2014” pada 29 Mac 2014. ABIM membantah penganjuran acara tersebut yang dilihat bertujuan meraikan kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT) dan berpandangan acara sebegitu amat bercanggah dengan nilai-nilai pelbagai agama dan adat budaya di Malaysia.

 

Berdasarkan rujukan terhadap laman Pink Dot Singapore, pada tahun 2013 acara seumpama ini telah diadakan secara besar-besaran dengan tujuan menyeru persamaan hak bagi komuniti LGBT agar hubungan sesama jenis tidak dianggap suatu yang negatif.

ABIM memandang berat penganjuran acara sebegini sebagai satu usaha yang biadab dan jelas tidak menghormati sentimen majoriti masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang teguh dengan ajaran agama. Acara sebegini seolah-olah ingin membawa anasir kebebasan percintaan songsang yang telah kedengaran di merata pelosok dunia termasuk di negara-negara maju seperti UK, Perancis dan lain-lain.

Namun ABIM juga menilai acara tersebut sebagai reaksi dari sikap dan persepsi buruk masyarakat yang amat keterlaluan hingga mengakibatkan hilang pertimbangan keadilan dalam keadaan tertentu ketika menghukum mereka sebagai seorang warganegara hanya atas dasar mereka cenderung dengan kelompok LGBT.

Walaubagaimanapun, ABIM melihat memadai untuk kelompok ini didekati dan diberikan bimbingan tidak sehingga diberikan pengiktirafan meluas menerusi acara seperti yang dirancang.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga akan mengemukakan surat bantahan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), termasuk Pejabat Y.A.B Perdana Menteri serta Pejabat Y.B Ketua Pembangkang selain membuat laporan polis menuntut siasatan dilakukan kerana ia bercanggah dengan semangat yang terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang secara terang-terangan mengiktiraf Islam dan agama-agama lain sebagai teras kepada nilai kenegaraan.

 

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)