
8 Mac 2026 / 18 Ramadan 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyatakan sokongan terhadap pendekatan diplomasi budiman yang sedang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia dan YAB Perdana Menteri dalam menangani perkembangan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Dalam situasi geopolitik yang amat kompleks dan berpotensi mencetuskan eskalasi yang lebih luas, pendekatan diplomasi yang berhati-hati, strategik dan berprinsip merupakan langkah yang wajar bagi memastikan Malaysia dapat memainkan peranan yang konstruktif dalam meredakan ketegangan yang sedang berlaku.
ABIM mengambil maklum bahawa YAB Perdana Menteri telah berhubung secara langsung dengan beberapa pemimpin negara yang terlibat dan berkepentingan bagi menggesa langkah de-eskalasi serta menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam kalangan negara-negara Islam. Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai suara sederhana yang menggalakkan dialog dan penyelesaian secara damai.

Dalam diplomasi antarabangsa, banyak proses penting berlaku melalui saluran yang tidak semestinya diumumkan secara terbuka. Rundingan yang sensitif sering memerlukan ruang diplomatik tertutup bagi membolehkan dialog yang lebih jujur dan konstruktif antara pihak pihak yang terlibat. Justeru, keberkesanan diplomasi tidak wajar diukur semata-mata melalui kenyataan terbuka atau retorik awam.
Sebagai sebuah negara sederhana yang dihormati di peringkat antarabangsa, Malaysia sejak sekian lama mengamalkan pendekatan diplomasi yang berhemah dan inklusif. Pendekatan ini membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk negara negara Teluk, Iran serta kuasa-kuasa besar dunia, sekali gus memberi ruang kepada Malaysia berperanan sebagai jambatan dialog dalam situasi konflik yang sensitif.
Dalam konteks Asia Barat, realiti geopolitik juga perlu diambil kira. Negara-negara Teluk sendiri sedang berusaha mengelakkan konflik yang lebih luas di rantau tersebut. Dalam keadaan yang rapuh ini, pendekatan yang terlalu konfrontatif dari luar rantau berpotensi menjejaskan usaha-usaha penstabilan yang sedang berjalan.
ABIM berpandangan bahawa diplomasi budiman menuntut keseimbangan antara solidariti moral dengan pertimbangan strategik. Malaysia perlu terus menyuarakan keprihatinan terhadap keadilan dan keamanan, khususnya dalam isu Palestin dan penderitaan rakyat Gaza, namun pada masa yang sama memastikan langkah-langkah yang diambil tidak menutup ruang diplomasi yang sedang diusahakan.
Cadangan agar Malaysia mengambil pendekatan yang lebih konfrontatif dalam konflik ini perlu dilihat secara berhati-hati. Dalam realiti hubungan antarabangsa, diplomasi yang berkesan bukan ditentukan oleh kenyataan yang paling lantang, tetapi oleh keupayaan membina kepercayaan serta membuka ruang dialog antara pihak-pihak yang bertelagah.
Malaysia secara tradisinya memainkan peranan sebagai jambatan dialog antara Asia Tenggara, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa. Peranan ini menuntut pendekatan yang seimbang, berhemah dan berpandangan jauh agar Malaysia terus dipercayai oleh pelbagai pihak dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan global.
ABIM menyeru semua pihak termasuk masyarakat madani agar menyokong inisiatif diplomatik yang konstruktif serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan ruang diplomasi yang sedang berjalan.
Dalam diplomasi antarabangsa, suara yang paling lantang tidak semestinya paling berpengaruh. Yang lebih penting ialah keupayaan membina kepercayaan, meredakan ketegangan dan membuka ruang kepada perdamaian yang berpanjangan.
Malaysia wajar memainkan peranan sebagai negara yang mengutamakan dialog, kestabilan dan keamanan demi kepentingan umat manusia sejagat.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan.”
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
