
2 Januari 2017, Kuching:- Alhamdulillah Sekolah Rendah Islam (SERI) & Sekolah Menengah Islam (SEMI) Tahfiz Ar Razi ABIM telah mula beroperasi mulai sesi persekolahan tahun 2017. Sesungguhnya adalah satu detik yang sangat bermakna memandangkan ia membuka satu lagi episod baru dakwah ABIM Negeri Sarawak menerusi lapangan pendidikan di Bumi Kenyalang. Insya’Allah mulai dari saat ini, ABIM Negeri Sarawak yang terdahulu menggerakkan rangkaian Taski di negeri tersebut akan mengorak kehadapan ke arah menawarkan platform pendidikan Islami kepada umat Islam di negeri Sarawak.
“Insya’ Allah kami komited dengan apa yang kami lakukan sekarang. Memang akan ada mehnah dan tribulasi yang menanti tapi doakan agar tahun pertama ini dapat kami lalui dengan jayanya dengan izin-Nya. Moga insan yang lahir dari madrasah ini menjadi alim-ulama suatu masa kelak atas apa yang telah anda sumbangkan dengan seikhlasnya,” tutur Wan Azizan Algadri, YDP ABIM Negeri Sarawak ketika dihubungi wakil Media ABIM tempoh hari.
