ABIM Sabah anjur Seminar Ta’ayush: Budaya Damai dalam Pembinaan Bangsa Malaysia

November 4, 2021
editor@abim

ABIM Sabah anjur Seminar Ta’ayush: Budaya Damai dalam Pembinaan Bangsa Malaysia

2hb Oktober 2021 – Alhamdulillah, seramai 70 orang peserta telah menyertai Seminar Ta’ayush yang telah diadakan bersempena Muktamar Sanawi Ke-49 ABIM Sabah secara dalam talian maya menggunakan aplikasi Zoom Meeting dan telah dirasmikan oleh YB. Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif, Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah.

Seminar ini menampilkan tiga orang panel pembentang iaitu Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz selaku Presiden ABIM, Dato’ Haji Ismail Yusop selaku Ketua Kluster Pembinaan Bangsa Malaysia Ide Institut Darul Ehsan dan Tuan Hj Sainuri Yahmin selaku Pengerusi Ngo Islam Sabah Concern.

Antara resolusi penting dari seminar ini adalah meneruskan usaha penyampaian ilmu, mesej dan hasil seminar kepada mereka yang ada di sekolah, IPT mahupun masyarakat awam agar budaya damai ini mampu membina suasana lebih harmoni khususnya di Negeri Sabah.

Pengenalan Program

“Hidup Bersama adalah padanan kata ‘co-existence’ yang sekali gus terjemahan istilah ‘al-ta’ayush’ atau ‘al-‘aysh al-mushtarak’ yang banyak dipakai dalam wacana masa kini tentang hidup berdampingan dengan damai dalam kalangan warga masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.” (Ustaz Dr. Siddiq Fadzil, 2018).

Petikan ucapan di atas adalah merupakan sebuah gagasan besar yang pernah dipopularkan oleh Almarhum Prof. Dato’ Dr. Ustaz Ustaz Siddiq Fadzil (USF) untuk membangun minda masyarakat bagi merealisasikan pembinaan bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia yang dimaksudkan di sini adalah sebuah bangsa yang merangkumi keseluruhan masyarakat majmuk dan pelbagai kaum, tetapi mempunyai kesatuan yang padu serta kukuh ikatannya.

Konsep Bangsa Malaysia bukanlah dengan mewujudkan satu bangsa baharu dan melenyapkan identiti bangsa tertentu, tetapi konsep ini menekankan perkongsian nilai yang sama antara semua kaum dan etnik di Malaysia, di luar acuan dan tafsiran politik kepartian.

Pengamalan budaya damai yang berpangkal dari sikap positif, saling menghormati dan menyenangi terhadap kepelbagaian. Kepelbagaian yang diurus dan dikendalikan dengan bijaksana, menghasilkan kesalingan yang produktif yakni saling memperkaya dan memperkasa.

Sehubungan dengan itu, atas dasar prihatin dan semangat patriotisme, ABIM Sabah terpanggil untuk menganjurkan “Seminar Ta’ayush: Budaya Damai Dalam Pembinaan Bangsa Malaysia”.

Penganjuran ini dibuat adalah untuk merealisasikan aspirasi Sabah sebagai sebuah negeri yang sentiasa proaktif serta berkomitmen tinggi dalam mengangkat idea kesatuan dan perpaduan kaum bagi menyelesaikan isu-isu dan masalah perpecahan yang disebabkan perbezaan ideologi politik mahupun kerana isu ekonomi kemiskinan yang sentiasa menjadi kebimbangan semua lapisan masyarakat.

Objektif Seminar

i. Membantu mengisi agenda politik dan pentadbiran kerajaan sedia ada (government of the day) untuk mencapai matlamat ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

ii. Memberi kefahaman kepada peserta seminar tentang peri penting penerapan nilai ilmu, jati diri dan kepimpinan dalam misi mengangkat nilai Al-Ta’ayush yakni hidup bersama dalam kalangan masyarakat majmuk.

iii. Memugar falsafah pengurusan ekonomi Negara berteraskan nilai hidup bersama dan budaya damai dalam kalangan warga masyarakat.

iv. Membincang serta merumuskan pelan tindakan berkesan berdasarkan isi idea pembentangan para panel yang ditampilkan mengikut kepakaran masing-masing ke arah merencana masa depan rakyat dan negara Malaysia.

Muktamar Sanawi Kali Ke-39 ABIM Sabah

Muktamar Sanawi merupakan salah satu program tahunan sebagai wadah untuk seluruh penggerak dan kepimpinan ABIM khususnya diperingkat daerah dan negeri Sabah berkumpul, bermuhasabah, berbincang dan bersinergi semula serta memilih kepimpinan baharu bagi sesi akan datang.

Muktamar ini juga menjadi platform menilai keberhasilan gerak kerja setahun yang lalu dan mencari solusi/gerak kerja dakwah dan program pembangunan belia yang perlu pada masa akan datang.

Muktamar Sanawi kali ini amat penting dan bermakna kerana negara kita sudah setahun lebih dalam suasana pandemik Covid-19 dan telah mengubah budaya dan cara hidup kita kepada norma baharu. Namun itu tidak bermakna usaha membangunkan belia dan melaksanakan dakwah dihentikan.

Ianya suatu cabaran yang memerlukan pendekatan berhikmah dan norma baharu untuk kita terus berbakti dengan menyesuaikan diri dan keperluan umat tanpa mengabaikan arahan kesihatan dan keselamatan dari pihak berkuasa.

Manhaj Sabahi, Taayush Islahi & Keadilan Sosial

Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat, Ustaz Mohammad Syafiq Ismail at-Tauhidi dalam perkongsiannya menyatakan bahawa sudah sampai masanya kita menggagaskan sebuah Manhaj Sabahi yang mengambilkira sejarah umat Islam di Sabah; sebelum kolonial, ketika kolonial, dan pasca kolonial (sekarang).

Fabrik sosial Sabah sangat berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Sama seperti kita tidak boleh tangkap muat Fiqh Dakwah di Timur Tengah untuk Malaysia, begitulah juga: Fiqh Dakwah di Semenanjung Malaysia, tidak boleh dipakai di Sabah, vice versa.

Ditambah lagi di Sabah, kita ada orang laut, Palau, yang beragama Islam, dan mereka ini juga menuntut Fiqh yang berbeza daripada orang darat.

Antara unsur yang dilihat meneguhkan institusi Islam di Semenanjung Malaysia ialah sistem kesultanan Melayu-Islam, yang tidak ada di Sabah pasca kolonial. Doa-doakan Manhaj Sabahiy ini berjaya didokumentasi dan diamalkan, insya Allah.

Manhaj Sabahi yang memberikan banyak fokus kepada keadilan sosial. Manhaj Sabahi dan sub-nya Ta’ayush Islahi membasmi kezaliman sosial. Syarat Ta’ayush Islahi ialah keadilan.

Apabila membicarakan tentang ta’ayush/co-existence/kehidupan bersama sebagai bangsa Sabah, kita tidak boleh menindas/mendiskriminasi/menzalimi orang lain dalam kalangan warga Sabah.

Ta’ayush di Malaysia ini tidak boleh menari atas penindasan, diskriminasi, mahupun kesengsaraan orang lain.

Ayuh kita terus bersama menggembleng tenaga dan idea untuk meneruskan usaha pemberdayaan belia dan umat di negeri Sabah dan Malaysia.

Semoga segala amal kebaikan dan bakti yang kita laksanakan mendapat ganjaran pahala dan redha daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Amiin.

“Mengakar Tarbiyah ABIM, Menyubur Dakwah Sabah”

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo