
KENYATAAN MEDIA
ABIM SAMBUT BAIK KEJAYAAN GENCATAN SENJATA THAILAND-KEMBOJA HASIL USAHA DIPLOMATIK MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI ASEAN
29 Julai 2025 / 2 Safar 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan kedua-dua pimpinan Thailand dan Kemboja dalam mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula tengah malam ini bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara yang telah mengorbankan nyawa dan menggugat kestabilan serantau.
Kejayaan penting ini diumumkan sendiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang bertindak selaku hos, pendamai dan Pengerusi ASEAN, serta turut menjadi sosok penting dalam Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
ABIM memuji peranan proaktif Malaysia yang berjaya berperanan sebagai negara kuasa tengah dalam mengembalikan kestabilan serantau melalui rundingan diplomatik yang tuntas, berprinsip dan inklusif. Kejayaan ini membuktikan bahawa ASEAN kekal relevan sebagai platform penyelesaian konflik serantau, manakala Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berjaya menyatukan kekuatan politik serantau dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China selaku penaja bersama rundingan.
ABIM turut menyeru agar kuasa-kuasa besar ini terus menyokong pendekatan damai yang diterajui ASEAN, tidak mengeksploitasi konflik untuk kepentingan strategik masing-masing, serta menghormati kepimpinan serantau dan memperkukuh keupayaan tempatan dalam menyelesaikan konflik secara berdaulat.
ABIM menggesa agar semua pihak mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui dan menghentikan serta-merta segala bentuk provokasi bersenjata bermula tengah malam ini.
ABIM turut menyarankan agar ASEAN segera menubuhkan pasukan pemantau yang bebas dan berkecuali bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar dalam tempoh yang dipersetujui, selaras dengan semangat rundingan yang telah dicapai.
Sebagai manifestasi solidariti serantau, bantuan kemanusiaan ASEAN juga wajar disalurkan segera kepada semua yang terkesan, khususnya mangsa perpindahan, keluarga yang kehilangan tempat tinggal, serta mereka yang terkorban akibat konflik.
ABIM turut menyeru rakyat Thailand dan Kemboja, termasuk komuniti digital kedua-dua negara, untuk menahan diri daripada menyebar provokasi, naratif kebencian, atau tuduhan liar di dalam platform media sosial. Pendekatan ini sememangnya sangat diperlukan demi menghidupkan kembali semangat muafakat dan penghormatan rentas sempadan, demi masa depan bersama yang damai.
Sebagai gerakan masyarakat madani, ABIM komited untuk bekerjasama dengan rangkaian masyarakat sivil di seluruh ASEAN bagi mengukuhkan budaya damai, menyantuni mangsa konflik, serta memastikan suara rakyat terus menjadi sebahagian daripada proses membina keamanan yang mampan termasuk melalui cadangan penubuhan Sidang Masyarakat Madani ASEAN untuk Keamanan Serantau sebagai ruang dialog dan rekonsiliasi, serta mencadangkan pelaksanaan Program Pendidikan Keamanan ASEAN, khususnya untuk komuniti sempadan dan golongan belia serantau.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
