ABIM Sarawak Pertubuhan Belia Terbaik Ketiga Kebangsaan

May 29, 2019
editor-media

Bangi, 15 Mei 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah dinobatkan sebagai salah satu pertubuhan belia terbaik peringkat kebangsaan apabila meraih tempat ketiga dalam Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Kategori Pertubuhan.

Anugerah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, dalam acara gilang-gemilang bersempena Sambutan Hari Belia Negara 2019, di Dewan Tunku Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia, dekat sini.

Acara ini diadakan serentak dengan Sambutan Hari Belia Negara 2019, Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia kali ke-68 dan Konvensyen Belia Kebangsaan 2019, juga di lokasi sama.

Johan bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2019 kategori pertubuhan adalah Persatuan Belia Beliawanis Bukit Kuda Labuan, manakala Persatuan Belia Felda Jelai Negeri Sembilan meraih tempat kedua.

Turut hadir dalam acara penyampaian Anugerah tersebut adalah Yang Berhormat Tuan syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan Malaysia; Encik Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia; Tan Sri Wahid Omar, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, dan beberapa orang dalam kalangan Menteri dan Timbalan Kabinet serta dif-dif kehormat.

ABIM Sarawak membawa pulang trofi khas, wang tunai bernilai RM 10,000.00 dan sijil penyertaan. Sebelumnya, ABIM Sarawak telah dinobatkan sebagai pertubuhan belia terbaik bagi Negeri Sarawak setelah memenangi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2019 Peringkat Negeri Sarawak.

Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) telah mula diperkenalkan pada tahun 1988. Tujuan Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan belia di Malaysia.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR