
12 Jun 2026 – Pemimpin agama dan golongan belia perlu memainkan peranan yang lebih aktif sebagai rakan strategik dalam memperkukuh keharmonian sosial serta membina budaya hidup bersama yang lestari dalam dunia yang semakin mencabar.
Demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang menegaskan bahawa keamanan tidak memadai sekadar diisytiharkan, sebaliknya perlu dibina melalui usaha berterusan yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi masa depan dunia.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran era digital yang menyaksikan penyebaran maklumat palsu, polarisasi sosial serta fahaman ekstrem menerusi platform media sosial yang semakin mempengaruhi pemikiran anak muda. Dalam konteks ini, pemimpin agama disaran mendekati generasi muda dengan pendekatan yang lebih responsif dan relevan, di samping memberi ruang kepada mereka sebagai rakan pencipta (co-creators) dalam usaha memupuk keamanan, persefahaman dan nilai kemanusiaan sejagat.


3rd International Summit of Religious Leaders 2026 turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, Setiausaha Agung Muslim World League, YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohammed bin Abdulkarim Al-Issa, Ahli Kabinet, Ahli Kabinet dan delegasi luar negara.
ABIM turut diberi peluang hadir sama dalam sidang kali ini. Kehadiran pemimpin agama dari pelbagai negara membuka ruang pengenalan dan diskusi santai dalam mengukuh keharmonian, hormat-menghormati serta kerjasama antara agama.
