Alhamdulillah, WADAH sudah mencecah usia 16 tahun penubuhan! - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Alhamdulillah, WADAH sudah mencecah usia 16 tahun penubuhan!

9hb November 2005 – 9hb November 2021.

Alhamdulillah, WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) sudah mencecah usia penubuhannya 16 tahun.

Kertas kerja dasar penubuhan WADAH telah dibentangkan pada tahun 2004 oleh Almarhum Cikgu Ab Halim Ismail bersama Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman kepada Exco ABIM Pusat ketika itu di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur.

Antara yang terlibat dalam perbincangan ini terdiri daripada Prof. Dr. Rumaizuddin Ghazali, Sdra. Azizuddin Ahmad, Sdra. Khairil Anuar Ramli, Sdra. Zaidi Aziz (kini YB), Puan Nordiran Idris, dan Dr. Yusri Mohammad.

Perbincangan tentang penubuhan WADAH dibuat atas keperluan:

  1. Melancarkan proses peralihan kepimpinan gerakan dari generasi ke generasi yang lain;
  2. Memanfaatkan tenaga kepakaran pasca gerakan belia yang mempunyai kebolehan dan kepakaran;
  3. Melebarkan dakwah dengan berhikmah menerusi berbagai wadah dan pendekatan;
  4. Pentingnya satu ruang dan wadah untuk mengekalkan hubungan antara kepimpinan generasi lama dan baru.

Peringkat Exco ABIM Pusat bersetuju untuk penubuhan WADAH dan bermula dari situ para pimpinan merangka pelan penubuhan dan tindakan.

Penubuhan WADAH adalah dengan hasrat untuk memperkasa umat melalui usaha meningkatkan ilmu, kecerdasan dan daya fikir mereka terutama dalam memahami agama Islam serta dalam menanggapi persoalan-persoalan penting yang dihadapi dalam masyarakat.

WADAH didaftarkan pada 9hb November 2005 dengan angka pendaftaran PPM-003-10-11092005 (Selangor). WADAH ditubuhkan dengan tujuan-tujuan berikut:

  1. Melaksanakan program-program dakwah dan kesedaran sosial yang dapat meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap agama, bangsa dan negara.
  2. Mengadakan latihan-latihan bagi melahirkan da’i yang kompeten.
  3. Mengembleng tenaga da’i bagi melaksanakan program dakwah secara lebih bersepadu dan berkesan.
  4. Mendidik umat melalui usaha menyebarluas pandangan dan pendirian mengenai pelbagai isu yang berbangkit berasaskan perspektif Islam melalui pelbagai saluran dan media yang ada.

16 tahun mungkin usia remaja – tetapi jiwa dan tindakannya sudah matang. Bermula dari landasan Pelajar (PKPIM) kemudian meneruskan langkah Belia (ABIM). Luas sungguh motivasi ILMU yang ada padanya.

Semoga WADAH terus menjadi inspirasi dalam menabur ilmu dan bakti kepada umat, insya Allah.

#TerimaKasihWADAH

#IstiqamahPerjuangan