BELANJAWAN 2024: ABIM GESA PENEKANAN KEPADA USAHA MEMARTABAT BAHASA MELAYU

October 11, 2023
Admin Abim

Kenyataan Media
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

11 Oktober 2023 / 22 Rabiul Awal 1445H

BELANJAWAN 2024: ABIM GESA PENEKANAN KEPADA USAHA MEMARTABAT BAHASA MELAYU

Bersempena dengan pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadualkan pada 13 Oktober 2023 ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar ia juga perlu menekankan kepada usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini pada tahun akan datang.

Gesaan ini selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini, adalah wajar untuk usaha memartabatkan Bahasa Melayu diperkasakan dengan peruntukan yang besar.

Antara usaha yang perlu diberikan peruntukan program wacana serta menghadam karya-karya agung dalam Bahasa Melayu, untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda berdasarkan kepada warisan budaya negara ini.

Peruntukan yang lebih besar kepada usaha untuk memartabat Bahasa Melayu juga boleh dimanfaatkan untuk merangsang program penyelidikan serta pembangunan, yang meliputi pelaksanaan program penterjemahan yang lebih agresif membabitkan istilah semasa serta penerbitan bahan-bahan ilmiah khususnya membabitkan bidang sains dan teknologi.

Natijah daripada program penyelidikan dan pembangunan ini juga boleh dikembangkan kepada usaha jangka panjang untuk menerbitkan kamus Bahasa Melayu antarabangsa meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei dan rantau Nusantara.

ABIM menegaskan Belanjawan 2024 untuk memperkasa Bahasa Melayu juga perlu meliputi usaha untuk membumikan Bahasa Kebangsaan tersebut sehingga ke akar umbi khususnya dalam kalangan generasi muda.

Antaranya ialah membiayai program serta inisiatif untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

Ini termasuk membiayai penerbitan serta penyebaran majalah, novel serta buku-buku ilmiah yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu Baku serta berunsur nilai-nilai positif kepada masyarakat.

ABIM juga menegaskan perlu untuk institusi serta agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diperkasakan peranannya sehingga ia dapat mempengaruhi pelaksanaan dasar yang menyentuh kedudukan serta serta Bahasa Melayu sesuai dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perkara 152.

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu juga diperkasakan menerusi jalur industri kreatif dengan melibatkan syarikat korporat serta pempengaruh dalam aktiviti kebahasaan, untuk membolehkan penghasilan bahan kandungan dalam Bahasa Melayu dapat ditingkatkan.

Mengambil kesempatan ini, ABIM juga menegaskan bahawa penguatkuasaan penggunaan Bahasa Malaysia (baku) dalam penghasilan bahan kandungan, penyiaran dan pengiklanan perlu dilaksanakan di samping pelbagai inisiatif serta galakan yang lain.

Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

#BahasaJiwaBangsa

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR