19 November 2015, Gombak:- “Bermusafirlah, kembaralah untuk menguji keupayaan kita, sejauh mana kita boleh pergi jauh. Dari disitulah kita akan tahu fikrah kita realistik atau plastik” kata-kata tersebut telah menarik perhatian mahasiswa-mahasiswa UIAM yang mengikuti sessi Bibliophilia yang menampilkan buku “Islam Di Barat Muslim Di Timur”. Alhamdulillah, penulis buku tersebut Dr Zulkifli Hasan telah berkesempatan mempersembahkan buku ini yang mengetengahkan travelog beliau ke beberapa buah negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
Dr Zulkifli Hasan, Ketua Biro Shariah & Kewangan Islam,dan juga Yang Di Pertua ABIM Negeri Sembilan, merupakan ahli akademik serta penulis prolifik menerusi pelbagai bahan-bahan penerbitan. Berikut adalah ringkasan sebahagian daripada pembentangan beliau.
a) Di Jepun menurut beliau, ‘bahasa’ berjaya menyatukan mereka. Proses penterjemahan begitu pantas berlaku di Jepun. Banyak novel Indonesia antaranya yang sudah diterjemah seperti laskar pelangi. Proses ini begitu vital di negara ini kerana supaya setiap masyarakat punyai akses terhadap ilmu. Budaya dan disiplin menjadi asas kemajuan. Masyarakat jepun juga sangat menitik beratkan pemeliharaan warisan dan khazanah silam. Bencana Tsunami yang berlaku di sana telah mencetuskan semangat ketuhanan. Kekosongan dari Jiwa kembali mencari Tuhan.
b) Ketika berkongsi pengalaman beliau ke Amerika Syarikat selama beberapa bulan, beliau berpendapat negara tersebut akan terus mendominasi dunia dengan kekuatan ilmu dan ekonomi mereka. Bagi pencinta dan penggemar buku, Library of Congress di Amerika akan menjadi syurga dan membuatkan para pencintanya lemas dalam lautan koleksi jutaan buku, manuskrip, cetakan, foto, Peta dan sebagainya. Institusi ilmu di sana juga merupakan institusi bertaraf dunia dan mendominasi kesarjanaan. Kita juga harus mencontohi bangsa Yahudi dalam aspek kesatuan dan kekitaan mereka. Akhirnya, Dr Zul percaya Islam akan subur di mana ada ‘Al-Huriyyah’ (Kemerdekaan @ Kebebasan).