
Oleh: Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil
Mukadimah.
“Ceritakanlah (kepada mereka hai Muhammad) kisah Ibrahim (yang tersebut) di dalam al-Kitab (al-Qur’an) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang siddiq (sangat membenarkan) lagi seorang Nabi. (41).
Ketika ia berkata kepada bapanya: “Wahai bapaku, mengapa kau sembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikitpun? (42).
Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak dating kepadamu, kerana itu ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus, (43).
Wahai bapaku, janganlah kau sembah syaitan, sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. (44).
Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa engkau akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha Pemurah, maka dengan demikian engkau menjadi kawan bagi syaitan”. (45).
Berkata bapanya: “Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti. maka nescaya. kamu akan kurejam, dan tinggalkanlah aku buat waktu, yang lama”. (46),
Berkata Ibrahim: “Semoga keselamatan dilimpahkan, kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku. (47).
Dan aku akan menjauhkan diri daripadamu, dan daripada apa yang kamu seru selain dari Allah, dan aku akan berdo’a kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdo’a kepada Tuhanku”. (48).
Terjemahan daripada Surah Maryam : 41-48.
DIALOG IBRAHIMIY
Demikianlah rakaman dialog antara Nabi Ibrahim a.s. dengan ayahnya Azar, seorang penyembah berhala, pembuat berhala dan peniaga berhala.
Keadaan tersebut mewajarkan Azar dijadikan sasaran pertama dakwah Nabi Ibrahim (a.s.).
Sebagai bapa ia adalah orang yang paling dekat dengannya, dan sebagai penyembah, pembuat dan peniaga berhala ia adalah sumber yang menghidupkan budaya sesat itu. Petikan ayat-ayat dari surah Maryam (41-48) di atas mengungkapkan beberapa fakta penting dalam dialog pendakwahan iaitu:
Pertama: Pernyataan tentang ketinggian wibawa pendakwah (Nabi Ibrahim `a.s.) yang disebut sebagai siddiqan nabiyya, iaitu seorang yang sangat (cepat dan tegas) membenarkan kebenaran hakikat-hakikat ghaybiyyat dari Tuhan, di samping seorang Nabi yang menerima ilmu langsung dari Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Demikianlah perlunya credential keilmuan dan kewibawaan peribadi bagi para pendakwah. Sebarang kekurangan yang membawa pandangan rendah terhadap pendakwah boleh menjejaskan keberkesanan dialog dakwah.
Kedua: Penyampaian mesej menerusi dialog yang sopan, beradab dan penuh simpati. Dialog pendakwahan memang seharusnya murni dari unsur emosi dan caci maki. Perwatakan Ibrahim ‘a.s. yang disebut dalam surah al-Tawbah: 114 sebagai awwahun halim (lembut dan penyantun) adalah menepati watak da`i unggul pembawa rahmat Ilahi.
Apa lagi dalam konteks ayat-ayat di atas, Ibrahim a.s. berhadapan dengan ayah kandungnya sendiri. Biar bagaimanapun ayah tetap ayah yang harus dihormati dan disikapi secara sopan dan semangat kebaktian yang setinggi-tingginya. Hakikat itulah yang tersirat di balik kalimat panggilan ya abati (wahai bapaku,……..) yang disebutnya berulang-ulang.
Ketiga: Pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan disusun begitu rupa sehingga tidak terasa sebarang nada mengejek atau mempersenda, tetapi lebih membawa kesan rangsangan berfikir, kenapa harus menyembah berhala yang tidak mendengar aduan dan pujian, tidak mampu memberi dan tidak berdaya melindungi.
Namun kesopanan dan kehalusan tidak pula sampai mejejaskan kejelasan mesej yang mengajak agar segera meninggalkan penyembahan berhala yang juga bererti penyembahan syaitan, kerana pada hakikatnya syaitanlah yang menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan dan syaitan jugalah yang mengajak sama-sama menderhakai Tuhan.
Keempat: Peringatan-peringatan tentang buruknya padah sikap berlarut-larut dalam kesesatan itu disampaikan dalam nada keprihatinan dan kekhuatiran, bukan ancaman atau ugutan keras dan marah yang meluap-luap. Demikianlah nada yang dapat dirasakan dari ayat Namun mesejnya tetap jelas.
Kelima: 45 (Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir…..). dan tegas bahawa akibatnya adalah azab yang pedih (dari Tuhan) dan penghinaan serendah syaitan, sama jahatnya dan sama sesatnya.
Keenam: Cara dan pendekatan dakwah Ibrahim ‘a.s. memang sudah tepat, tidak ada cacatnya, tetapi kuasa memberikan hidayah tetap milik mutlak Allah (s.w.t.). Demikianlah Azar tetap menolak petunjuk. Mungkin faktor utamanya adalah kepentingan diri, survival ekonomi, ketergantungannya kepada penghasilan berhala. Sebagaimana lumrahnya orang yang tidak mampu berhujah dan tidak dapat menjawab pertanyaan, maka yang dilakukan ialah mengancam dan bertindak ganas.
Ketujuh: Pendakwah harus mampu mengawal emosi dan bersikap jiwa besar dalam semua keadaan. Muntahan kata-kata yang keras dan emosional tidak perlu dijawab dengan nada yang sama. Nabi Ibrahim ‘a.s. tidak melatah menghadapi reaksi provokatif dan emosional ayahnya, sebaliknya beliau menjawabnya dengan do`a kesejahteraan dan pernyataan harapan dan penegasan niat baiknya. Demikianlah amanah pendakwahan yang harus disampaikan dengan cara yang sebaik mungkin, namun dalam keadaan bagaimana sekalipun keutuhan kandungan mesej tetap dipertahankan, tetap jelas dan tegas.
Ini merupakan petikan nota Kuliah Tafsir Maudhu’iyy Siri Ke-34 bertemakan“Dialog: Pendekatan Qur’ani Dalam Pendakwahan” (Bahagian Kedua) yang disampaikan pada 9 Februari 2002.
Sempena Ramadan kali ini jemput sama-sama sejahterakan Malaysia dengan dakwah dengan menyumbang di Infaq ABIM
