Global Peace Mission Buka Pusat Aktiviti Belia di Gombak - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Global Peace Mission Buka Pusat Aktiviti Belia di Gombak

27 Jun 2012 – Global Peace Mission (GPM) Malaysia dengan rasminya telah membuka Pusat Aktiviti Belia (PAB) pada hari ini. PAB ini  mensasarkan remaja dan belia yang berumur di antara 10-25 tahun terutama bagi mereka yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapat manfaat.

Antara kemudahan yang disediakan di PAB ini adalah perpustakaan mini, kemudahan akses kepada internet dan siaran televisyen tempatan & antarabangsa, bilik musafir dan juga dewan yang boleh memuatkan seramai 50 orang pada satu-satu masa. Selain daripada kemudahan yang disediakan, PAB ini juga berperanan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti remaja & belia seperti permainan dalaman seperti Chess, Carrom, Sahibba dan lain-lain.

Selain daripada itu pada masa akan datang, PAB juga kan menyediakan aktiviti seperti kelas belajar komputer dan multimedia, kelas Iqra’ dan mengaji Al-Quran serta Fardhu Ain, tayangan filem berkala, perkhidmatan kaunseling remaja dan juga kursus-kursus yang bersesuaian dengan remaja dan belia dalam usaha meningkatkan jati diri mereka supaya dapat menyumbang semula kepada masyarakat di kemudian hari.

PAB berharap dengan adanya pusat seperti ini, dapat membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan kemudahan dan peluang menjalani aktiviti-aktiviti yang sama seperti rakan-rakan mereka yang lebih berkemampuan. Justeru, kami memohon jasa baik daripada masyarakat di luar sana yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang sesuatu bagi memastikan perjalanan PAB ini lancar dan bermanfaat.

Untuk makluman, GPM masih lagi memerlukan beberapa sumbangan seperti 10 buah komputer, sofa, televisyen dan juga kemudahan pantri bagi melengkapkan pusat ini. Segala maklum balas boleh diajukan terus kepada Saudara Syahrir Azfar bin Saleh di talian 03-61883230 atau 0132226057.

Di kesempatan ini, GPM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Erma Herlina yang merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian yang telah memilih PAB ini untuk menjalankan projek penilaian CSR PTD beliau. Beliau telah menjalankan satu inisiatif CSR iaitu “The Bright Room Project” yang telah berjaya mentransformasikan sebuah bilik di pusat ini menjadi perpustakaan mini yang ceria.