Global Peace Mission (GPM) Malaysia melahirkan kegusaran dan keprihatinan terhadap konflik kemanusiaan yang telah dan sedang berlaku di serata dunia. Konflik kemanusiaan yang berlaku di Palestin, Pakistan, Afghanistan, Kemboja, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Somalia, Kenya, Nigeria, Kashmir, Iraq, Syria dan terbaru di Myanmar (Rohingya), cukup meresahkan aktivis-aktivis kemanusiaan. Dunia kini seolah-olah telah kehilangan nilai penting sebuah kehidupan dan gagal untuk memaknai nilai keamanan sejagat.
Konflik-konflik kemanusiaan yang berlaku seperti pembunuhan tanpa belas kasihan, kemiskinan, kebuluran, kekurangan makanan yang berkhasiat, infrastruktur pendidikan yang tidak diberikan perhatian, warga-warga tua yang hanya dipandang sepi, anak-anak yatim yang ditinggalkan sebatang kara dan lorong-lorong hitam yang terus dibayangi kegelapan, semua ini menuntut kepada sebuah pembelaan.
Lantaran itu, GPM menyeru rakyat Malaysia, supaya bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha bagi menangani isu keresahan dunia ini. Kami yakin rakyat Malaysia merupakan rakyat yang prihatin dan pemurah. Amat penting bagi sebuah masyarakat seperti ini bersama-sama mengangkat isu kemanusiaan dan keamanan sejagat ke satu tahap yang lebih tinggi. Justeru, bersempena dengan kehadiran 1 Sya’ban 1433H pada hari ini, GPM mengambil kesempatan untuk melancarkan Projek ‘Ifthar for the Needy’ dan juga Ibadah Qurban 1433H dalam usaha membantu mereka yang memerlukan di Negara-negara yang mengalami konflik dan bencana.
Bantuan dan sumbangan dari rakyat Malaysia amatlah dialu-alukan bagi mengisi tabung kedua-dua projek ini. Sumbangan dan dana yang telah dikumpulkan akan diagihkan kepada setiap Negara yang disebutkan diatas secara terus atau melalui badan NGO yang bekerjasama dengan GPM. Sumbangan ikhlas dari rakyat Malaysia boleh disalurkan ke akaun Global Peace Mission yang dinyatakan seperti berikut:
GPM akan terus konsisten mempromosikan keamanan sejagat melalui penyaluran bantuan kemanusiaan dan juga akan terus menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang efektif dan efisyen dalam menjalankan tanggungjawab tersebut. Justeru, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong projek ini dan terus memberikan kepercayaan kepada GPM dalam menangani pelbagai mala petaka dan musibah yang berlaku di seluruh dunia.