Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
Petikan di atas adalah sebahagian daripada bait-bait dalam puisi A.Samad Said, sasterawan negara pada 1988 yang bertajuk ‘Obor hemah’. Begitulah semangat tema Hari Guru Kebangsaan yang diangkat pada tahun ini; “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”. Dalam puisi ini, Pak Samad menukilkan kepentingan tugas hakiki keguruan adalah untuk menyemai rasa cinta terhadap ilmu yang akhirnya mencerminkan hikmah dalam kehidupan setiap anak bangsa. Kehidupan yang dimaksudkan tersebut sudah tentunya kehidupan yang bermanfaat kepada kemenjadian seluruh bangsa itu sendiri.
Dalam manhaj pendidikan yang diajar baginda Rasulullah SAW, aspek dan prinsip pendidikan nilai adalah menjadi keutamaan. Prinsipnya adalah pembentukan akhlak yang terbaik. Ini dapat disokong dalam beberapa hadis yang mengukuhkan bahawa pembentukan budi pekerti itu adalah tujuan nabi diutuskan.
Dalam usaha mengangkat semula pendidikan hikmah dalam amalan pembelajaran dan pengalaman persekolahan, beberapa istilah yang seerti seperti Pendidikan Karakter, Pendidikan Moral dan Budi Pekerti, Pendidikan Sosial dan Emosional, dan sebagainya perlu diketengahkan diarusperdanakan.
Dalam Al-Baqarah, ayat 129 _“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (kebijaksanaan) dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”_, dan daripada ayat ini juga menjelaskan tugas baginda sebagai seorang guru.
Jelas sekali, dalam pendidikan ummatik, bagi mengangkat suatu jiwa dan bangsa, memerlukan kekuatan guru bagi menghadamkan inti utama pendidikan itu sendiri, iaitu hikmah, yang merupakan kunci kepada pemberdayaan, dan kunci kepada keunggulan. Justeru, menjadikan pendidikan sebagai agenda utama negara, dan agenda utama organisasi dakwah seperti ABIM merupakan suatu yang terus relevan dalam menjayakan pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara.
Selamat Hari Guru #TerimaKasihCikgu
*Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Halim*
_Pengerusi_ _Yayasan Takmir Pendidikan_