KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
18 Julai 2025 / 22 Muharram 1447H

HAD UMUR BELIA: ABIM DESAK KERAJAAN TANGGUH PELAKSANAAN, CABAR KBS TAMPIL KONSISTEN DAN TELADAN
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius pengumuman YB Menteri Belia dan Sukan bahawa had umur kepimpinan belia 30 tahun akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2026, selaras dengan pindaan Akta Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang diluluskan Parlimen pada tahun 2019.
ABIM menegaskan bahawa pelaksanaan dasar ini perlu dikaji semula secara menyeluruh dan inklusif. Kebanyakan pertubuhan belia di seluruh negara, termasuk yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM), telah menyuarakan kebimbangan dan penentangan terhadap dasar ini.
Penentangan ini bukan perkara baru kerana telah dinyatakan secara tegas pada ketika ia mula dibentangkan pada 2019. Keadaan ini diburukkan dengan ia diluluskan tanpa mendapat dipersetujui badan-badan belia yang merupakan pemegang taruh utama. Perlu diingat badan-badan belia utama di tanah air seperti MBM telah wujud lebih lama sebelum negara ini merdeka.
Jika ia terlaksana ia pastinya menjejaskan kesinambungan kepimpinan belia di peringkat akar umbi serta meminggirkan pemimpin yang berpengalaman dan masih aktif menyumbang dalam ruang advokasi, kebajikan dan pendidikan.
Bagi ABIM sendiri, pelaksanaan had umur ini memberi cabaran besar kepada struktur operasinya yang melangkaui aktivisme belia semata-mata. Sebagai sebuah gerakan dakwah dan masyarakat madani yang menguruskan pelbagai agensi merentas bidang — termasuk pendidikan, kesihatan, kemanusiaan dan pembangunan insan.
Ini membabitkan pengurusan ribuan petugas, guru dan penggerak lapangan dari pelbagai peringkat usia memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda perubahan dan khidmat kepada masyarakat. Meminggirkan penyertaan mereka atas alasan umur semata-mata akan menjejaskan ekosistem pemberdayaan masyarakat yang sedang berjalan pada ketika ini.
Pelaksanaan dasar ini juga mencetuskan persoalan dari sudut keseragaman antara negeri, terutamanya apabila Sarawak — melalui pertubuhan seperti SABERKAS — tidak tertakluk kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), sebaliknya berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Lebih membimbangkan, penggunaan istilah “belia” oleh pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah ROY, dilihat bercanggah dengan semangat dan peruntukan dalam Akta 668, yang dengan jelas menyatakan bahawa pertubuhan yang menggunakan nama atau objektif “belia” hendaklah didaftarkan di bawah ROY. Kelonggaran ini menimbulkan persoalan serius terhadap konsistensi pelaksanaan undang-undang dan dasar negara.
Sehubungan itu, ABIM menggesa agar YB Menteri menggunakan kuasa budi bicara di bawah Seksyen 123 Akta 668 untuk memberikan pengecualian bersasar kepada kepimpinan pertubuhan belia yang aktif, khususnya yang berdaftar di bawah MBM, daripada tertakluk kepada pelaksanaan had umur ini dalam tempoh terdekat.
Kami turut mencadangkan agar satu mekanisme peralihan yang adil dan bertahap diperkenalkan bagi memastikan sebarang perubahan dapat dilaksanakan secara tersusun tanpa menggugat kelangsungan organisasi dan program pembangunan belia sedia ada.
Bahkan perlu ada mekanisme yang tersusun untuk mana-mana pertubuhan belia yang ingin terus berperanan tanpa terikat dengan had umur kepimpinan yang cuba diterapkan.
Dalam masa yang sama, ABIM mencabar YB Menteri dan seluruh barisan kepimpinan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tampil dengan keteladanan dan konsistensi terhadap dasar yang diumumkan. Jika benar had umur 30 tahun dijadikan garis pemisah kelayakan kepimpinan belia, maka adalah wajar semua jawatan berkaitan belia dalam kementerian juga dihadkan kepada individu di bawah usia tersebut.
Jika tidak, penggunaan istilah belia dalam struktur dasar dan organisasi kerajaan akan kehilangan legitimasi dan menjadi simbolik semata-mata. Bahkan ia tidak ubah seperti pertubuhan-pertubuhan belia perlu tunduk kepada orang politik.
ABIM berpandangan bahawa definisi belia tidak boleh dikurung dalam angka semata-mata, tetapi harus dinilai berdasarkan semangat, sumbangan dan kapasiti. Harus diingatkan para pertubuhan-pertubuhan belia telah dikesampingkan daripada awal sejak akta ini cuba dilaksanakan.
Malaysia memerlukan dasar belia yang adil, realistik dan meraikan kerencaman pengalaman demi membina sebuah negara bangsa yang matang dan sejahtera.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
