
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Menteri Belia Dan Sukan mengenai penurunan mendadak penyertaan belia dalam persatuan serta pertubuhan.
Berdasarkan kepada kenyataan ABIM sekali lagi menegaskan bahawa perubahan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun yang dijadual berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2026 pasti akan memberi kesan kepada struktur kepimpinan dan penyertaan dalam pertubuhan belia.
Apatah lagi had umur yang dikemukakan pertubuhan-pertubuhan belia kepada 35 tahun ketika itu telah dikesampingkan walaupun komitmen untuk menerima cadangan tersebut telah dinyatakan sebelum pindaan akta ini dibuat.
Proses membentuk kepimpinan untuk pertubuhan belia tidak mudah.
Tambahan pula persatuan-persatuan ini sudah berakar umbi di dalam masyarakat semenjak sekian lama serta diuruskan secara profesional.
Bahkan majlis-majlis belia serta organisasi naungannya telah menggerakkan aktiviti masyarakat yang terbukti berjaya menghindarkan golongan muda terhadap terjebak dalam gejala sosial termasuk ektremisme berasaskan agama dan perkauman.
Apatah negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 yang dijadualkan perlu dibuat menjelang akhir 2027.
Berdasarkan tren penurunan pembabitan golongan belia pada ketika ini, keadaan diramalkan akan menjadi lebih buruk selepas 2026.
Dan ini akan membuka jurang yang sangat besar sehingga ke akar umbi di mana masyarakat serta negara pasti akan merasai kesan buruknya.
Justeru kesan terhadap perkara ini perlu diberi perhatian oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia.
Pengaruh pengundi muda telah terbukti pada PRU 15 serta PRN 2023 yang lalu.
Keadaan ini dijangka tidak terkecuali pada masa akan datang.
Justeru adalah wajar ruang masa diberikan untuk pertubuhan-pertubuhan belia di negara sehingga selepas selesai PRU 16.
Disusuli dengan penangguhan ini ABIM serta pertubuhan-pertubuhan belia di negara komited ini mengisi ruang pembangunan kepimpinan serta sahsiah dalam kalangan para pelajar di sekolah sehingga IPT.
Dengan sela masa ini juga pertubuhan-pertubuhan belia dapat memastikan transisi kepimpinan di akar umbi dapat dijalankan dengan lancar.
Harus diingat bahawa pelatihan transisi bukan sekadar hanya mengisi tempat yang akan dikosongkan semata-mata.
ABIM menegaskan transisi perlu sama-sama digerakkan melibatkan kerjasama menyeluruh membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan membenarkan kelab-kelab belia ditubuhkan dengan penglibatan pelajar tingkatan tiga dan ke atas.
Ini adalah intipati sebenar pembangunan belia kerana ia bersifat menyeluruh kerana meliputi setiap aspek yang selalu dinafikan sisi pandangnya sehingga kini.
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
