Helwa ABIM Gesa Jaminan Keselamatan Kanak-Kanak Dan Masyarakat Terhadap Isu Pedofilia

August 30, 2019
editor-media

Bahagian Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengemaskini pendaftaran pesalah pedofilia. HELWA ABIM merujuk kepada kebimbangan masyarakat berkenaan seorang bekas pesalah pedofilia, yang dilaporkan sedang melanjutkan pelajaran di sebuah IPT tempatan.

Pesalah tersebut dilaporkan telah disabitkan dengan jenayah tersebut ketika berada di luar negara pada tahun 2015 sebelum sistem pendaftaran tersebut diwujudkan di negara ini.

Justeru langkah-langkah proaktif seharusnya dilakukan oleh pihak berwajib termasuklah pihak ibu bapa, masyarakat dan kerajaan kerana keselamatan dan perlindungan kanak-kanak seharusnya menjadi tanggungjawab dan keutamaan masyarakat Malaysia.

Umum mengetahui pemulihan sepenuhnya bagi seorang pesalah pedofilia tidak mudah serta memerlukan jangka masa yang panjang. Ia memerlukan proses pemulihan yang konsisten dan pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa.

Maka, susulan daripada kes tersebut HELWA ABIM menggesa pihak-pihak berkaitan mengambil tanggungjawab yang sewajarnya mengatasi masalah tersebut untuk keselamatan kanak-kanak dan meredakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat keseluruhannya :

1. Pihak IPT berkenaan dan KPM dengan kerjasama pihak keluarga perlu memastikan beliau menerima rawatan pemulihan seperti kaunseling, terapi dan rawatan klinikal bagi memastikan beliau pulih sepenuhnya. Pendekatan ini perlu diluaskan kepada semua pesalah pedofilia yang didaftarkan.

2. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) perlu melakukan pengawasan yang berkesan kepada mana-mana pesalah pedofilia khususnya membabitkan interaksi mereka dengan kanak-kanak; bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam apa jua keadaan, termasuklah secara fizikal mahupun maya serta akses kepada bahan-bahan pornografi kanak-kanak yang berkaitan.

3. KPWKM mesti memastikan beliau dimasukkan ke dalam daftar pesalah jenayah pedofilia dan segala langkah pencegahan dan gerakan kesedaran masyarakat terhadap isu pedofilia dan keselamatan kanak-kanak mesti dioptimumkan.

4. Ibu bapa dan masyarakat umum mesti bertanggungjawab dalam memberi perlindungan dan memantau keselamatan anak-anak secara fizikal mahupun maya. HELWA ABIM turut mengharapkan agar Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang baru dilantik oleh kerajaan, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dapat berperanan secara proaktif dan holistik dengan memahami kerisauan masyarakat tentang perkara ini.

Helwa ABIM mengharapkan pihak berkuasa dapat mengemaskini maklumat yang lengkap bagi menjelaskan isu ini kepada masyarakat. Makluman terkini yang komprehensif dan jaminan keselamatan dapat membantu mengurangkan kebimbangan sekaligus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pihak berwajib.

Nor Azura Kamarudin Sohami Naib Presiden ABIM (HELWA)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR