Hentikan Segera Polemik Antara Agama!: Amidi Abd Manan

June 30, 2014
editor-media

Polemik status Malaysia samada negara sekular atau negara Islam perlu dihentikan segera jika bertujuan untuk menimbulkan ketegangan hubungan antara agama. Kenyataan ini merujuk kepada pendirian yang dikeluarkan oleh beberapa pertubuhan agama bukan Islam baru-baru ini. Polemik sebegini yang dilakukan di media terbuka tidak akan membawa sebarang penyelesaian malah menambahkan kekusutan.

Perbahasan secara akademik juga telah berlangsung tanpa kesimpulan yang mutlak. Oleh itu selaku warganegara yang matang dan bertanggung jawab menerima dan menghormati situasi yang sebegini iaitu wujud lebih dari satu pandangan berkaitan status negara ini. ABIM khuatir jika perkara ini diperpanjangkan dalam keadaan yang terbuka tanpa objektif yang tulus api permusuhan akan semakin marak.

Perkelahian dan pertembungan secara fizikal akan berlaku bila-bila masa umpama retak menanti belah. ABIM memandang serius perkembangan hubungan antara agama di Malaysia yang semakin buruk sejak akhir-akhir ini. Dan ia semakin malang jika ia didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Pertikaian tanpa sebab yang jelas sebegini akan mengakibatkan pupusnya semangat patriotisme dan mungkin akan berakhir dengan pengkhianatan terhadap negara.

AMIDI ABD MANAN,

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR