Kalimah Allah: Program "Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Undang-Undang" Tidak Menjamin Penyelesaian Mutlak - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Kalimah Allah: Program “Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Undang-Undang” Tidak Menjamin Penyelesaian Mutlak

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada penganjuran “Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Undang-Undang” yang merupakan Wacana Sinar Siri 26 yang akan diadakan pada 27 Januari 2014.

ABIM berpandangan polemik Kalimah Allah ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi perdebatan kerana ia amat bersangkutan dengan perkara-perkara yang melibatkan isu teologi yang akan mengundang sensitiviti masyarakat.

 

Isu-isu agama yang melingkari masyarakat seperti ini harus diselesaikan menerusi perbincangan yang melibatkan kumpulan ilmuan yang sentiasa berlapang dada dan mengambil pendekatan bersederhana dari kelompok kedua-dua pihak.

Justeru, ABIM menilai perdebatan yang melibatkan dua tokoh politik tersebut tidak akan memberi sebarang jalan penyelesaian bahkan bertambah buruk apabila isu ini yang asalnya bersifat teologi secara langsung diheret kepada perkara lain yang lebih sensitif yang melibatkan perundangan dan Institusi Raja. Susulan itu, ABIM telah menyerahkan surat kepada pihak Sinar Harian untuk menyarankan agar penganjuran debat tersebut dibatalkan.

Dalam pada itu, penganjuran perdebatan ini juga boleh dianggap perjudis kerana ia masih belum lagi didengar di peringkat Mahkamah Persekutuan.

ABIM juga menyeru semua pihak khususnya media untuk mengenengahkan pandangan sederhana dan bersifat ilmiah khususnya dari kelompok agamawan Islam dan Kristian yang merupakan “silent majority” bagi memastikan polemik ini dapat disejukkan.

Sekian, wassalam.

Yang Benar,

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Setiausaha Agung.