Kapitalisme, Pasaran Senjata dan Krisis - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Kapitalisme, Pasaran Senjata dan Krisis

Oleh Dr Zulkifli Hasan (Exco Shariah Dan Kewangan Islam ABIM)                                                                                                                                                                                                                                                                 Tatkala Gaza dihujani bom dan peluru, Amerika dilaporkan terus menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel. Ahli Kongres Amerika memberikan lampu hijau dan menyatakan sokongan penuh kepada rejim zionis. Dilaporkan juga bahawa Rusia dan China telah menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong pelan Liga Arab untuk mendesak Presiden Syria Bashar Al Assad supaya berundur dan mengutuk keganasan kezaliman yang berlaku.

Hingga kini dilaporkan ribuan rakyat Gaza dan Syria telah terkorban dan tercedera. Ramai yang tertanya-tanya mengapa dan kenapa negara-negara ini berbuat demikian. Sudah pasti mereka mempunyai sebab dan justifikasi terhadap tindakan mereka ini. Rusia merupakan pembekal senjata dan rakan dagang utama Syria dalam membekalkan pelbagai jenis senjata kepada rejim Al Assad. Begitu juga di Bahrain, dalam keghairahan media barat mengutuk Iran untuk membangunkan tenaga nuklearnya, Amerika dalam masa yang sama telah membekalkan senjata yang besar jumlahnya kepada Bahrain.

Amerika juga pastinya sekutu utama Israel menyalurkan peralatan senjata termodennya dan akan berbuat apa sahaja untuk mengiyakan segala kejahatan rejim zionis. Lihat saja kelengkapan ‘Iron Dome’ Israel yang dibiayai oleh Amerika dengan belanja melebihi USD225 juta. Amerika secara konsisten menjadi penyumbang utama ekonomi dan persenjataan Israel dan ini diketahui dunia. Krisis merupakan perkara yang sinonim dengan kapitalisme. Bahkan, kapitalisme memerlukan krisis untuk ‘survive’ atau untuk terus relevan.

Tanpa krisis, kapitalisme akan runtuh dan tidak akan berfungsi. Itulah antara faktor mengapa berlakunya kitaran krisis ekonomi, krisis kewangan, krisis peperangan dan pelbagai krisis yang lain pada hari ini. Mengetahui perkara inilah, golongan pemodal akan memastikan krisis itu dicipta dan direncanakan secara strategik demi mengaut keuntungan melaluinya. Begitu juga apa yang berlaku pada hari ini khususnya di Timur Tengah. Dengan sumber kekayaan yang melimpah melalui hasil minyak yang menjadi rebutan dunia, golongan pemodal pastinya telah merencanakan pelbagai krisis dan ancaman yang membolehkan produk senjata mereka dilanggani tanpa had.

Dalam erti kata lain, golongan pemodal ini mencipta “PASARAN’ melalui krisis dan peperangan. Dunia telah menyaksikan bahawa abad ke 20 merupakan abad yang paling kejam dalam sejarah manusia dengan dua peperangan dunia, diikuti lebih 30 tahun perlumbaan senjata, perang teluk, perang Afghanistan, Perang Vietnam, Perang Iran-Iraq termasuk konflik dalaman, revolusi dan sebagainya. Program Penyelidikan Keamanan, Cornell Universiti di Amerika telah menganggarkan bahawa seramai 231 juta manusia telah terkorban melalui peperangan dan konflik sepanjang abad ke 20.

Di antara faktor utama sejarah tragis manusia ini adalah kesan daripada perdagangan senjata. Perdagangan senjata yang sering kali dilihat sebagai langkah memperkuatkan sistem pertahanan dan perbelanjaan persenjataan atas dasar keselamatan sebenarnya hanya mencetuskan konflik dan pertumpahan darah. Dalam erti kata lain, peperangan telah dicipta bukan hanya kerana ideologi tetapi juga berfaktorkan keuntungan. Melihat kepada signifikannya isu perdagangan senjata dan agenda para kapitalis pengeluar senjata, artikel ini cuba menelusuri dan meninjau realiti perdagangan senjata termasuk menampilkan aktor-aktor pengeluar senjata dan pelanggan tetap kepada saudagar senjata ini di seluruh dunia.

Di samping itu, penulis juga berkongsi sedikit maklumat berkenaan dengan institusi dan badan yang aktif dan komited mengawal dan memantau perdagangan senjata dan juga entiti yang secara komperehensif merekod dan menyimpan data serta statistik perdagangan senjata di seluruh dunia. Artikel penuh boleh dibaca menerusi pautan ini Kapitalisme, Pasaran Senjata Dan Krisis.