
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)
KEMBALI KEPADA RAHMAH, KEADILAN DAN KARAMAH INSANIAH DALAM MENANGGAPI ISU PELARIAN
06 Jun 2026 I 20 Zulhijjah 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan rasa kesal terhadap perkembangan naratif kebencian melampau yang dilemparkan terhadap golongan pelarian Rohingya oleh sebahagian pengguna media sosial mutakhir ini.
Lebih membimbangkan, terdapat juga kenyataan yang menghasut orang ramai untuk mengambil tindakan sendiri, termasuk ancaman kekerasan terhadap mana-mana individu Rohingya yang ditemui. Seruan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan prinsip undang-undang dan kemanusiaan, malah bertentangan dengan ajaran Islam yang menegakkan keadilan serta memelihara kemuliaan setiap insan.
Pada masa yang sama, ABIM memahami bahawa sebahagian rakyat mempunyai kebimbangan dan keresahan yang nyata berkaitan isu keselamatan, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan, kebersihan persekitaran serta keharmonian sosial yang dikaitkan dengan kehadiran komuniti pelarian. Kebimbangan ini tidak wajar dipandang ringan atau diketepikan begitu sahaja. Ia perlu ditangani secara serius melalui dasar yang lebih tersusun, berkesan dan berteraskan undang-undang.

Namun demikian, keresahan yang sah tidak boleh bertukar menjadi kebencian terhadap keseluruhan kelompok manusia. Islam mengajar kita berlaku adil dalam menilai sesuatu perkara. Jika terdapat individu yang melakukan kesalahan, tindakan hendaklah diambil terhadap mereka yang bersalah tanpa menghukum seluruh komuniti secara kolektif. Menyalahkan keseluruhan kelompok atas kesalahan segelintir bukan sahaja tidak adil, malah hanya akan menambahkan lagi ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.
ABIM mengajak seluruh masyarakat untuk beristighfar, bertenang dan kembali berpegang kepada nilai Islam yang menuntut keadilan, rahmah, adab serta pemeliharaan maruah setiap insan.
Golongan pelarian, termasuk etnik Rohingya, adalah kelompok tertindas yang memerlukan perlindungan. Mereka bukan meninggalkan tanah air semata-mata untuk mencari kesenangan hidup, tetapi kerana terpaksa menyelamatkan diri daripada penindasan, penganiayaan dan ancaman terhadap keselamatan mereka.
Menyifatkan mereka sebagai pengecut atau menuduh mereka lari daripada jihad adalah tidak bertepatan dengan kefahaman Islam. Al Quran sendiri mengiktiraf hak mereka yang tertindas untuk berhijrah demi menyelamatkan nyawa, agama dan maruah diri. Firman Allah SWT dalam Surah al Nisa’, ayat 97 mengingatkan bahawa dalam keadaan tertentu, hijrah daripada penindasan adalah sebahagian daripada tuntutan untuk menyelamatkan diri daripada kezaliman.
Firman Allah SWT dalam Surah al Anfal, ayat 74:
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan pertolongan, mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.”
Ayat ini mengangkat martabat mereka yang berhijrah kerana tertindas, serta memuliakan golongan yang memberi perlindungan dan pertolongan kepada mereka sebagai mukminun haqqan.
ABIM tidak menafikan terdapat cabaran dan isu yang perlu ditangani bersama dalam hubungan antara masyarakat tempatan dan komuniti pelarian. Namun penyelesaiannya bukan melalui kebencian, penghinaan kaum atau keganasan, tetapi melalui pendekatan yang adil, berhikmah dan bertanggungjawab.
Dalam hal ini, kita wajar meneladani Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan seorang Arab Badwi yang membuang air kecil di Masjid Nabawi. Baginda SAW tidak membenarkan tindakan keras terhadapnya, sebaliknya memilih pendekatan mendidik dengan tenang dan berhikmah. Kesalahan perlu diperbetulkan, tetapi manusia tidak harus dihina atau diperlakukan dengan kebencian.
ABIM berpandangan bahawa isu pelarian tidak boleh dilihat secara sempit atau dipermudahkan dengan retorik kebencian. Ia adalah sebahagian daripada krisis kemanusiaan yang lebih besar, melibatkan konflik berpanjangan, penafian hak asasi, kegagalan perlindungan antarabangsa serta cabaran pengurusan migrasi yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Justeru, ABIM menggesa agar kerajaan terus memperkukuh pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mengurus isu pelarian, termasuk aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan, perlindungan golongan rentan serta hubungan dengan komuniti setempat. Pendekatan yang berkesan mestilah mampu melindungi kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengorbankan prinsip kemanusiaan dan keadilan yang menjadi asas sebuah negara bertamadun.
Krisis pelarian merupakan ujian besar kepada masyarakat dan negara. Ia menguji bukan sahaja keupayaan sosioekonomi dan politik kita, tetapi juga tahap keimanan, akhlak dan kemanusiaan kita. Dalam menghadapi isu yang rumit ini, masyarakat perlu menolak kedua-dua ekstrem, iaitu menafikan masalah yang wujud dan menghalalkan kebencian terhadap seluruh kelompok manusia.
Malaysia berhak mempertahankan kedaulatan undang-undang, keselamatan awam dan kepentingan rakyatnya. Namun pada masa yang sama, Malaysia tidak boleh kehilangan wajah kemanusiaannya. Kita boleh tegas tanpa menjadi zalim. Kita boleh mengurus cabaran pelarian dengan berkesan tanpa mengorbankan prinsip rahmah dan karamah insaniah.
Akhirnya, cara kita melayan golongan yang paling lemah dan tidak berdaya akan menjadi cerminan nilai yang kita pegang sebagai sebuah bangsa. Sejarah akan menilai bukan sahaja bagaimana kita mempertahankan kepentingan rakyat, tetapi juga bagaimana kita melayan manusia yang datang kepada kita dalam keadaan paling terdesak dan memerlukan.
ABIM menyeru seluruh masyarakat agar berlapang dada, menghentikan naratif perkauman melampau, menolak sebarang seruan kepada keganasan, serta bersama-sama membina budaya damai yang berasaskan keadilan, belas ihsan dan penghormatan terhadap maruah insan.
Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kepada kita kekuatan untuk terus berlaku adil, bersabar dan membantu golongan tertindas, agar kita tergolong dalam kalangan mukminun haqqan.
‘Menegakkan Kebenaran dan Keadilan’
AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
